KUALA LUMPUR 29 Sept - Penduduk dan pengendali perniagaan di kawasan tengah Semenanjung Malaysia kini dapat menikmati sokongan jualan dan servis Isuzu yang dipertingkatkan melalui pembukaan cawangan Pusat 3S Isuzu Temerloh yang mengalami pembaharuan.
Terletak secara strategik di laluan utama menuju bandar, cawangan dikendalikan Pacific Motor Sdn Bhd menampilkan identiti korporat Isuzu Malaysia yang terbaharu serta menyediakan kemudahan jualan dan lepas jualan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang jumlahnya semakin bertambah di sekitar kawasan berkenaan.
Pembukaan pusat 3S baharu ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe yang meyakini kemudahan baharu tersebut sarat ciri moden dan lengkap yang mampu memenuhi keperluan pelanggan, baik yang sedia ada atau untuk tahun-tahun ke hadapan.
"Isuzu menembusi pasaran Malaysia dengan cara tersendiri, tidak hanya berkaitan jualan tetapi juga dalam membangun reputasi kami sebagai sebuah jenama yang mementingkan penawaran kenderaan berkualiti tinggi dan inovatif.
"Pembukaan kemudahan baharu yang dipertingkatkan seperti di Pusat 3S Isuzu Temerloh ini akan memperkukuhkan lagi sasaran kami untuk memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan dengan jaminan menepati setiap daripada jangkaan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, harin ini.
Pusat 3S Isuzu Temerloh meliputi kawasan seluas 7,000 meter persegi, memuatkan semua lori dan trak Isuzu yang datang untuk penyelenggaraan.
Enam ruang servis yang ada mampu mempercepatkan kitaran temujanji pelanggan, sekali gus membolehkan mereka mendapat semula kenderaan dengan cepat dan berlapang fikiran kerana mengetahui kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Di dalam kemudahan baharu ini disertakan juga ruang menunggu selesa, lengkap dengan hidangan ringan sambil pelanggan boleh juga mendekati model Isuzu D-Max terbaharu dalam ruang pameran nyaman berpenghawa dingin serta memanfaatkan panel maklumat digital yang mesra alam.
Bagi mereka yang mencari lori untuk membantu perniagaan pula, perunding berpengalaman sentiasa bersedia membantu.


Pahang kekal menjadi lokasi strategik dan penting untuk Isuzu Malaysia dalam membantu trak Isuzu mendominasi 72% pasaran sejak Januari hingga Julai tahun ini, menjadikannya negeri nombor satu bagi perkongsian pasaran oleh syarikat.
Trak pikap Isuzu D-Max juga berjaya menembusi pasaran di Pahang dan berganjak ke kedudukan kedua dalam carta jualan trak pikap.


Jualan bagi model generasi ketiga Isuzu D-Max meningkat naik sebanyak 7.2% antara Januari dan Ogos tahun ini, menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak 24.4%. - DagangNews.com








