Iskandar Investment Bhd anjur Hari Komuniti Dron pada 13 Mei 2023 | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment Bhd anjur Hari Komuniti Dron pada 13 Mei 2023

Oleh JOHARDY IBRAHIM

ISKANDAR PUTERI 8 Mei – Iskandar Investment Berhad (IIB) selaku pemilik Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar akan menganjurkan Hari Komuniti Dron IIB pada Sabtu, 13 Mei 2023, di Kompleks Educity 1, Educity Iskandar.

 

Hari Komuniti Dron IIB menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dron, termasuk perkongsian pengetahuan dan ceramah kerjaya bersama penceramah terkemuka dari sektor dron bagi membincangkan komponen semasa serta pembangunan teknologi dron.

 

Selain itu, acara pameran dan demonstrasi tentang inovasi dan teknologi terkini dron turut dianjurkan. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai acara seperti aktiviti mewarna 3D, memasang dron, dron explorace dan Legoland Eduplay Express Bus, yang mempromosikan pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah bersama Legoland.

 

Bersempena Hari Komuniti Dron IIB ini, IIB akan menganjurkan pusingan kedua Liga Dron Malaysia (MDL), yang disokong bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) serta peserta dari Singapura, Thailand dan Brunei.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato' Idzham Hashim berkata, sebagai tuan rumah Tapak Ujian Dron (DTS) terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Medini Iskandar, visi strategik IIB untuk mewujudkan ekosistem dron dan robotik dinamik di Iskandar Puteri semakin menampakkan hasilnya.

Dato' Idzham Hashim
            Dato' Idzham Hashim

 


Katanya, kedudukan IIB sebagai enjin pembangunan utama rantau ini, peneraju teknologi dan hab bakat untuk Malaysia dan APAC telah menyebabkan sembilan daripada 25 syarikat dron dan robotik diluluskan dalam pelbagai program sandbox yang berpusat di sini.

 

"Hari Komuniti seperti ini adalah sebahagian usaha IIB untuk membantu syarikat berkaitan dan mempromosikan pembangunan bakat emerging technology dalam kalangan kumpulan sasar.

 

“Lanjutan kejayaan Program Perintis Dron Junior Puteri Junior (IPJDP) IIB yang telah melatih 74 juruterbang dron junior berusia antara 7 hingga 12 tahun, Hari Komuniti Dron IIB ini bukan sekadar mempamerkan teknologi dron dan peluang industri terkini tetapi juga untuk masyarakat tempatan belajar dan membangunkan kemahiran mereka.


 

parafrasa

 


"Kami percaya acara ini boleh memberi inspirasi kepada golongan muda untuk meneruskan kerjaya dalam industri
dron dan menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem," tambah Idzham.

 

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bagi Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia, Hairi Mad Shah,dijangka melancarkan Hari Komuniti Dron IIB nanti. Acara ini terbuka kepada orang ramai dan akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang. - DagangNews.com