Iskandar Investment bekerjasama dengan tujuh pemain industri EV laksana inisiatif mampan | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment bekerjasama dengan tujuh pemain industri EV laksana inisiatif mampan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Selaras usaha global ke arah pembangunan mampan dan pengurangan pelepasan karbon, Iskandar Investment Berhad (IIB) menjalin kerjasama dengan tujuh pemain industri kenderaan elektrik (EV) mampan, bagi menggalakkan penggunaan EV dan rumusan tenaga boleh baharu (TBB) di Iskandar Puteri, Johor.

 

Inisiatif ini adalah sebahagian lima strategi mengukuhkan komitmen IIB menerajui 'Net-Zero Carbon Central Business District (CBD)' di Medini Iskandar.

 

Usaha sama tersebut menghimpunkan pemain industri EV seperti Nano Malaysia Bhd, Handal Indah Sdn Bhd, Handal Green Mobility Sdn Bhd, Kumpool Sdn Bhd, Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd, GO TO U (M) Sdn Bhd, dan juga UN Global Compact Network Malaysia and Brunei (UNGCMYB). 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, pihaknya telah menggariskan lima tonggak strategik dalam rangka hala tuju untuk mencapai neutral karbon di Medini Iskandar iaitu pengurusan tenaga, pengurusan air, pengurusan sisa, bahan pembangunan hijau dan pastinya, mobiliti mampan. 

 

Katanya, IIB berbangga mendahului tonggak strategi pertama, iaitu komitmen memajukan penggunaan EV dan membuka jalan untuk rumusan tenaga bersih dengan menyediakan stesen pengecas EV. 

 

"Majlis pertukaran dokumen ini bukti dedikasi kami mewujudkan bandar karbon sifar bersih di Medini dan mewujudkan bandar rendah karbon dengan standard global. 

 

"Melalui kerjasama seperti ini, kami memanfaatkan kepakaran dan sumber mereka untuk mempercepatkan pertumbuhan industri EV, membentuk masa depan yang lebih bersih dan mampan, yang mana kemakmuran ekonomi seiring tanggungjawab alam sekitar," katanya dalam kenyataan media.

 

 

iskandar
                                              Datuk Idzham Mohd Hashim

 

 

Sementara itu, kerjasama IIB dengan UNGCMYB bertujuan untuk bersama-sama membangun dan melaksana inisiatif pembangunan di Iskandar Puteri, sejajar Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

 

Usahasama tersebut dijangka berfungsi sebagai platform pemudahcara perkongsian ilmu mengenai amalan terbaik antara IIB dan ahli UNGCMYB yang lain. 

 

Bagi mewujudkan kesedaran dan meningkatkan pemahaman mengenai prinsip pembangunan mampan, usaha sama itu akan berkembang menjadi inisiatif pembangunan kapasiti termasuk menganjurkan program latihan, bengkel dan seminar. 

 

 

iskandar

 

 

Usaha ini akan diperluas kepada komuniti setempat, pertubuhan dan persatuan sosial serta entiti kerajaan untuk memupuk kerjasama dan menangani cabaran bersama. 

 

Apabila semua inisiatif ini disatukan, IIB dijangka dapat meningkat dan meneguh reputasi sebagai organisasi utama dalam pembangunan Iskandar Puteri. 

 

Integrasi amalan mampan dalam pelan pembangunan ini akan memberi kelebihan daya saing yang boleh menarik pelabur, penyewa selain rakan niaga lestari. - DagangNews.com