KUALA LUMPUR 25 Julai - Republik Islam Iran sedang meneroka kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) minyak sawit, kata Timbalan Ketua Pengarah (R&D) MPOB, Dr Zainab Idris.
Zainab berkata, MPOB dan Kementerian Pertanian Republik Islam Iran berusaha untuk meneroka inisiatif penyelidikan dan pembangunan bersama mengenai sektor sawit.
"Malaysia dan Iran boleh mengatasi cabaran dan memanfaatkan potensi besar yang wujud bagi kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, delegasi Republik Islam Iran yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Presiden Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan dan Pengembangan Pertanian (AREEO), Dr Mojtaba Khayam Nekouei mengadakan kunjungan rasmi ke ibu pejabat MPOB di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
MPOB mengadakan perbincangan awal dengan institusi penyelidikan Iran seperti National Nutrition and Food Technology Research (NNFTRI) dan Universiti Sains Perubatan Tehran (TUMS).
Menurut Zainab, pertemuan itu merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan meletakkan asas bagi kerjasama berpanjangan antara kedua-dua negara.
"MPOB bersetuju untuk meneroka kemungkinan untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dengan Republik Islam Iran dan kami berharap dapat belajar daripada pandangan dan pengalaman unik negara tersebut dalam sektor pertanian melalui ikatan memorandum persefahaman (MoU)," katanya.

Katanya, pihaknya berharap dapat meningkatkan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan Iran terutamanya dalam meningkatkan eksport produk sawit dari Malaysia di masa depan,.
Dalam pada itu, Mojtaba menyatakan minat Iran untuk memeterai dua MoU dengan MPOB dalam bidang R&D minyak sawit secepat mungkin.
Beliau berkata, delegasi Iran juga menyambut baik cadangan kerjasama penyelidikan yang diutarakan oleh MPOB dalam bidang kajian pemakanan minyak sawit.
"Kajian seperti ini dilihat sebagai langkah proaktif kedua-dua negara dalam meningkatkan imej sawit Malaysia seterusnya dapat mengubah persepsi negatif terhadap minyak sawit dalam kalangan masyarakat Iran," katanya.
Republik Islam Iran merupakan pengimport bersih minyak dan lemak dan pengeluaran tempatannya mencukupi untuk hanya 29.1% daripada jumlah keperluannya. Pada 2022, ia menggunakan 2.09 juta tan minyak dan lemak untuk kegunaan domestiknya.
Ia adalah antara pengimport penting minyak sawit Malaysia dan juga rakan dagangan utama Malaysia. Jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Republik Islam Iran pada 2022 adalah pada 492,688 tan, meningkat 13.6% daripada tahun sebelumnya, dengan nilai RM2.79 bilion (AS$0.61 bilion).
Produk utama berasaskan sawit Malaysia yang dieksport ke negara tersebut pada tahun lepas ialah olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), minyak sawit RBD, bahan gantian lemak koko dan minyak masak.
Bagi enam bulan pertama 2023, jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Republik Islam Iran meningkat 53% kepada 185,946 tan berbanding dengan jumlah bagi tempoh yang sama tahun lepas. - DagangNews.com








