IOI Corp heret turun KLCI, Serba Dinamik raih momentum | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IOI Corp heret turun KLCI, Serba Dinamik raih momentum

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kumpulan Jetson Bhd., Serba Dinamik Holdings Bhd. dan Sedania Innovator Bhd. muncul antara saham paling aktif diniagakan dalam dagangan hari ini. 

 

Secara keseluruhan, pasaran ditutup hampir tidak berubah dengan indeks utama FBM KLCI susut 0.99 mata kepada 1,532.36 mata.

 

Sebanyak 6.5 bilion saham diniagakan bernilai RM3.59 bilion lebih tinggi berbanding Jumaat sebanyak 5.5 bilion saham diniagakan bernilai RM2.88 bilion.

 

Keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung melebihi rugi pada 526 berbanding 503 manakala 402 kaunter tidak berubah.

 

Di sebalik 'kesuraman' pasaran, Serba Dinamik didagangkan aktif sepanjang hari dengan melonjak 25.97% kepada 48.5 sen dalam penutupan petang ini.

 

Ia menyaksikan 1.5 bilion saham diniagakan menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM1.43 bilion.

 

Syarikat ini kembali meraih momentum dalam dagangan sahamnya, selepas memuktamadkan pelantikan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) sebagai firma bebas bagi menyemak semula isu audit yang dibangkitkan pengaudit luar sebelum itu, KPMG.

 

Impak positif ini turut dirasai saham KPower Bhd. dan Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) yang juga aktif diniagakan sepanjang hari. 

 

KPower menokok 0.54% kepada 92.5 sen manakala SCIB naik 1.85% kepada 82.5 sen. 

 

Selain itu, mendahului kaunter aktif juga termasuk saham Kumpulan Jetson meningkat 52.5% kepada 55.5 sen diikuti Sedania menokok 39.47% kepada RM1.06 sesaham.

 

Dalam kalangan kaunter untung pula, saham Genetec Technology Bhd. melonjak 7.22% kepada RM13.96 dengan 3.03 juta saham diniagakan.

 

Apa yang menariknya, syarikat sistem perindustrian automasi ini dilihat sebagai proksi dalam industri kenderaan elektrik, yang mana dalam pembukaan pagi, sahamnya diniagakan 25% lebih tinggi hingga mencecah paras RM16.28. 

 

Turut berada dalam kaunter untung juga termasuklah Widetech (Malaysia) Bhd. yang menokok 23.29% kepada RM3.60 diikuti Transocean Holdings Bhd, naik 12.57% kepada RM4.30.

 

Sementara itu, kaunter rugi pula didahului dengan saham Chin Teck Plantations Bhd., susut 4.26% kepada RM6.51 manakala Dutch Lady Milk Industries Bhd. pula jatuh 0.83% kepada RM33.62. 

 

Mengulas mengenai prestasi pasaran saham hari ini, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks utama diheret turun terutamanya oleh saham IOI Corporation Bhd. berikutan penyusutan sehingga 0.8% harga minyak sawit mentah. 

 

Saham IOI Corp petang ini susut 2.36% kepada RM3.73.

 

"Penurunan sahamnya juga diburukkan lagi dakwaan penggunaan buruh paksa oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS)," katanya. 

 

Jelas beliau lagi, keseluruhan sentimen menyaksikan dagangan indeks penanda aras yang bercampur-campur ekoran kebimbangan pelabur terhadap kemunculan varian Delta. 

 

"Ini menyebabkan kaunter penjagaan kesihatan seperti Top Glove Corporation Bhd. susut lebih 1% kepada RM3.95, diheret turun oleh indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia yang jatuh 1.5%," tambahnya. - DagangNews.com