KUALA LUMPUR 29 Ogos - Investors Trust, institusi kewangan global, membuka pejabat baru di menara Exchange 106 Kuala Lumpur, sejajar dengan strategi serantaunya yang bertujuan untuk memberi tumpuan kepada fungsi jualan dan operasi dalam hab Asia yang dilihat makin mantap dan berdaya saing.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Investors Trust berkata langkah tersebut turut menonjolkan komitmen syarikat untuk menawarkan perkhidmatan premium, serta hasratnya memperluaskan pengaruh ke seluruh rantau, khususnya di Malaysia, di mana ia telah beroperasi lebih dari sedekad.
Ketua Pengedaran Asia di Investors Trust, David Knights berkata pemindahan pejabat tersebut memperkukuhkan lagi kehadirannya di Malaysia.
"Selain itu, ITA Asia Ltd dengan bangganya telah didaftarkan dan diiktiraf oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
“Ini jelas membuktikan komitmen kami kepada rantau ini dan mengukuhkan kepercayaan kami terhadap masa depan ekonomi Malaysia yang makin rancak,” ujar beliau yang menghadiri perasmian pejabat baharu itu.
Menurut firma itu, keputusan menubuhkan pangkalannya di Exchange 106 menekankan lagi cita-citanya untuk memangkin transformasi positif dalam landskap kewangan Malaysia.
Langkah tersebut, katanya, bukan sahaja menyediakan persekitaran kerja yang maju bagi pasukan jualan Asia syarikat, malah turut mewujudkan kedudukan strategik untuk berhubung dengan rakan kongsi perniagaan antarabangsa.
“Ketika Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kewangan global, sumbangan daripada entiti seperti Investors Trust meningkatkan daya tarikan negara ini sebagai hab kewangan utama.
“Dengan pendekatan memberi tumpuan kepada masa depan, Investors Trust bersedia untuk melancarkan inisiatif serantau, menekankan komitmennya kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas,” tambahnya.
Melangkah ke hadapan, Investors Trust berkata ia sedang bersiap untuk melancarkan satu siri inisiatif bagi pasaran Asia Tenggara.
Firma itu berkata ia terus kukuh dalam menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan kewangan global dari sudut pandangan baharunya di Kuala Lumpur. - DagangNews.com








