KUALA LUMPUR 5 Okt - Infomina Berhad telah menerima kontrak bernilai AS$7.5 juta (RM35.4 juta) bagi pelaksanaan perjanjian langganan perisian (SSA) daripada Bangkok Bank Public Company Limited (BBL).
Penyedia rumusan teknologi itu berkata anak syarikatnya, Infomina (Thailand) Co., Ltd. (Infomina Thailand) akan menyediakan aplikasi teknologi serta operasi infrastruktur, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan kepada BBL.
Kontrak berkenaan adalah bagi tempoh tiga tahun bermula dari 31 Mac 2023 hingga 30 Mac 2026, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng menjelaskan bahawa di bahawa kontrak itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama membina inisiatif perniagaan baharu untuk membolehkan transformasi digital BBL dan menyampaikan lebih banyak perkhidmatan baharu kepada pelanggan BBL.

Di samping itu, Yee menambah bahawa inisiatif baharu membolehkan BBL membina kerangka utama sistem automasi kecerdasan buatan (AI).
“Usaha berterusan ini pasti akan meningkatkan lagi buku pesanan tertunggak kami, yang kini berjumlah kira-kira RM450 juta termasuk kontrak ini.
“Kami berbesar hati kerana Bangkok Bank telah memilih kami semula, di mana ini benar-benar membuktikan keupayaan kami menyediakan rumusan teknologi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.
“Di Infomina, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan serta mempromosikan inovasi.
“Dengan berbuat demikian, kami terus membina hubungan kerja yang baik dan jangka panjang kami dengan pelanggan, seperti Bangkok Bank, yang akan membolehkan kami mengembangkan perkhidmatan kami yang lain kepada mereka, dan pelanggan lain, pada masa hadapan,” ujar Yee.
Pada pukul 2:28 petang ini, saham infomina telah susut 2 sen atau 1.3% kepada RM1.54 dengan permodalan pasarannya bernilai RM925.9 juta. - DagangNews.com







