Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Mei - Firma pelaburan global, Franklin Templeton memberi amaran inflasi mungkin berlaku dalam masa terdekat ini.
Ini walau bagaimanapun tidak akan berterusan atau mencanak ke paras yang akan menyebabkan stagflasi, iaitu inflasi tinggi yang berterusan seiring kadar pengangguran yang tinggi dan permintaan yang perlahan dalam ekonomi negara.
Sejajar ramalan itu, firma berkenaan juga menjangkakan persekitaran kadar faedah rendah akan terus dilanjutkan, jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca : OPR dijangka kekal rendah sepanjang 2021 - Penganalisis
“Terdapat pertikaian dalam pasaran yang besar dan malah antara pasukan pelaburan kami sendiri, sama ada inflasi di Amerika Syarikat (AS) akan terbukti hanya meningkat dalam jangka masa pendek memasuki 2022 setelah pandemik mereda atau peralihan sekular yang berpanjangan.
“Dengan latar belakang itu, ini menunjukkan bahawa pendapatan tetap kekal sebagai aspek penting dalam portfolio pelabur dan mengawasi hasil yang tinggi ketika ekonomi berkembang,” katanya.
Tambah Franklin Templeton, memandangkan pasaran ketika ini menyaksikan persekitaran faedah yang rendah serta tahap ketidaktentuan yang kian meningkat, pendapatan tetap dapat memainkan peranan penting untuk dimasukkan ke dalam portfolio pelabur.
Ini susulan pelaburan itu mempunyai hubung kait yang negatif dengan banyak aset berisiko sekali gus menawarkan keseimbangan dan kepelbagaian kepada portfolio pelabur.
Bukan itu sahaja, pasaran hutang yang sedang membangun juga menarik memandangkan ekonomi global berterusan dibuka dan pulih semula, ramal Franklin Templeton.
“Kami menjangkakan bank pusat di peringkat global akan kekal akomodatif, terutama terdapatnya tekanan inflasi yang berterusan, pertumbuhan global yang rapuh dan risiko penurunan.
“Di peringkat makro, kami menjangkakan ekonomi global akan dibuka dan pulih semula daripada pandemik. Sebarang perkembangan yang bercanggah dengan prospek pemulihan kami mungkin akan mengubah unjuran tersebut,” tambah firma itu lagi.
Dalam ramalan Franklin Templeton, COVID-19 akan meninggalkan impak yang signifikan ke atas tingkah laku pengguna di mana sektor hiburan dan pelancongan akan bermula semula pada tahun hadapan, namun tidak kembali kepada paras sebelum pandemik.
Seiring ramalan inflasi firma tersebut, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengunjurkan purata inflasi keseluruhan negara pada tahun 2021 lebih tinggi antara 2.5% hingga 4.0%.
Baca : OPR kekal 1.75% - BNM
Ini disebabkan terutamanya oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat.
Dari segi trakjektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 (2Q21) disebabkan terutamanya oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020 (2Q20).
Jelas BNM, keadaan itu bagaimanapun bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan diunjurkan menjadi sederhana selepas itu apabila kesan asas ini luput. - DagangNews.com








