Inflasi akibat subsidi bersasar dijangka sekat sentimen positif dagangan 2024 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Inflasi akibat subsidi bersasar dijangka sekat sentimen positif dagangan 2024 - Kenanga Research

Sentimen dagangan di bursa tempatan cukup positif pada tahun 2024 yang mendorong ADV lebih tinggi berbanding unjuran./ Gambar hiasan Nichola Cappelo Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 April - Sentimen dagangan di bursa tempatan yang positif pada tahun 2024 mungkin terhenti seketika sekiranya inflasi menjadi tidak terkawal kesan daripada pelaksanaan subsidi bersasar bahan api oleh kerajaan.

 

Menurut Kenanga Research, pelaksanaan subsidi bersasar berkemungkinan dilaksanakan dalam separuh kedua 2024 (2HCY24) dan kesan secara material dijangka dapat dilihat dalam CY25 sekiranya ada.

 

"Faktor terbesar yang menyebabkan jeda (kepada aliran yang lebih baik) mungkin adalah inflasi yang tidak terkawal daripada subsidi bersasar bahan api akan datang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, Kenanga Research terus mengekalkan saranan 'Underperform' ke atas Bursa Malaysia Berhad meski pun harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM6.70 sesaham daripada RM6.45 sebelum ini.

 

Katanya, nilai harian purata (ADV) suku pertama 2024 (1QCY24) adalah lebih baik daripada jangkaan berikutan sentimen dagangan yang lebih tinggi di bursa tempatan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Bursa Malaysia meningkat 11.4% kepada RM252.4 juta bagi FY23, isytihar dividen 14 sen

 

bskl
Kenanga Research mengekalkan saranan 'Underperform' ke atas Bursa Malaysia Berhad meski pun harga sasaran dinaikkan kepada RM6.70 sesaham.

 

"Momentum positif dijangka melebihi daripada CY23 dan untuk itu kami menaikkan andaian ADV ntuk CY24/CY25 kepada RM2.70 bilion/ RM2.75 bilion (daripada RM2.40 bilion/ RM2.50 bilion).

 

"Ini diterjemahkan kepada unjuran pendapatan yang lebih kukuh pendapatan tahun kewangan 2024/2025 (FY24F/FY25F) dilaraskan semula sebanyak +6%/+4%," jelasnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, ADV 1QCY24 pada RM2.92b (+35% QoQ) dan ia masuk lebih kukuh berbanding jangkaan RM2.4 bilion untuk suku tersebut.

 

"Minat dagangan yang lebih kukuh mungkin berpunca daripada jangkaan untuk dasar monetari yang lebih santai di seluruh dunia, pemulihan yang lebih kukuh dalam mengeksport segmen dan prospek yang memberangsangkan dalam beberapa projek strategik (iaitu pusat data, projek infrastruktur mega).

 

"Kami berpendapat bahawa faktor di atas boleh terus memacu sentimen dagangan untuk baki tahun ini," ujarnya.

 

Tambah Kenanga Research, nisbah risiko-ganjaran kelihatan adil dengan kekurangan pemangkin jangka sederhana yang kukuh untuk menyampaikan kejutan pendapatan yang disokong oleh ROE yang kukuh dan prospek dividen yang stabil. - DagangNews.com