KUALA LUMPUR 26 Julai - Pemain industri minyak sawit seharusnya menggunakan kelebihan teknologi sebagai cara yang produktif untuk mengurus operasi, sekali gus mengurangkan atau menghapuskan kebergantungan terhadap buruh asing yang murah.
Presiden Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (MAPA), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, kebergantungan industri itu kepada buruh asing boleh menjadi satu kesilapan yang mahal.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkata, setakat 2012, kerajaan telah menetapkan gaji minimum RM800 sebulan, dan hari ini, mencecah RM1,500 sebulan, hampir dua kali ganda dalam tempoh 11 tahun sahaja.
“Kos buruh asing yang semakin meningkat ini ditambah lagi dengan peningkatan kos pematuhan piawaian buruh yang ketat, yang dijangka dipatuhi oleh semua majikan.
"Malangnya bagi penyokong buruh murah, buruh kasar asing dikaitkan dengan buruh paksa, pemerdagangan manusia dan buruh kanak-kanak," katanya semasa mesyuarat agung tahunan MAPA ke-57, lapor Bernama.
Mohamad Helmy berkata, berdepan dengan cabaran berkaitan kebajikan pekerja, industri tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan usaha dalam mencari penyelesaian transformatif.
Sementara itu, beliau menyeru agar kerjasama yang lebih erat dan perkongsian idea dalam kalangan pihak berkepentingan selain menggesa semua syarikat perladangan untuk menerima perubahan dan memupuk inovasi bagi membentuk masa depan yang lebih mampan dan makmur bagi industri minyak sawit.
“Adalah menjadi harapan saya agar semua syarikat perladangan berada di bawah naungan MAPA supaya cabaran yang dihadapi industri dapat diuruskan secara kolektif.
“Saya juga berharap agar kita semua dapat bekerjasama dalam memartabatkan industri, supaya kita tidak lagi ditakrifkan oleh 3D (kotor, berbahaya dan merendahkan). Kita mesti bergerak ke hadapan dalam 100 tahun akan datang tanpa pergantungan berat kepada buruh kasar asing,” katanya.
Mohamad Helmy berkata, SDP menggunakan penyelesaian berasaskan teknologi untuk menangani kekurangan buruh kritikal pada Oktober 2020 semasa pandemik COVID-19.
“Dua matlamat yang ditetapkan oleh SDP adalah untuk mekanisasi, mengautomasikan dan mendigitalkan kerja di estet, mengubahnya daripada manual dan rendah kepada mahir dan teknikal, dan untuk menggaji lebih ramai rakyat Malaysia yang terlatih dan berkemahiran tinggi untuk menjalankan jenis kerja perladangan baharu, akhirnya menghapuskan pergantungan kepada buruh kasar asing,” katanya.
Menurut Mohamad Helmy, SDP telah mengumumkan bahawa ia menyasarkan untuk mempunyai 100% tenaga kerja tempatan untuk operasi huluannya di Malaysia menjelang 2027, dengan syarat penyelesaian yang berdaya maju untuk penuaian buah tandan segar berjentera atau automatik juga dicapai. - DagangNews.com








