KUALA LUMPUR 10 Ogos - Negara jiran Indonesia akan menerima 11 buah kenderaan tempur Pandur II 8x8 CZ daripada 22 buah yang ditempah kesemuanya.
Kementerian Pertahanan Indonesia pada 2019 telah menandatangani surat hasrat penyerahan awal 22 buah kenderaan tempur ini dengan syarikat PT Pindad.
Kenderaan itu akan dikeluarkan di Indonesia di bawah lesen berdasarkan perjanjian dengan Excalibur Army milik firma pertahanan Czechoslovak Group.
Excalibur Army telah memperoleh hak pengeluaran dan penjualan kenderaan Pandur II untuk Eropah Timur dan Asia pada 2015 daripada General Dynamics Land Systems.

Menurut kontrak bernilai AS$82 juta itu, program perolehan kenderaaan tersebut akan dilakukan dalam tempoh tiga tahun.
Perolehan Pandur II 8x8 CZ ini dilaksanakan secara pemasangan komponen terurai yang mana proses pemasangan akhir kenderaan dibuat sepenuhnya di Indonesia oleh PT Pindad.
Mengikut perancangan, Indonesia berhasrat untuk memperoleh 250 kenderaan Pandur bagi memperkukuhkan pasukan mekanise.
Walaupun mempunyai lebih 500 buah kenderaan perisai pelbagai jenis, tetapi jumlah tersebut dilihat masih tidak mencukupi untuk Indonesia yang mempunyai kira-kira 300,000 anggota tentera.

Ini termasuklah kira-kira 300 buah kenderaan perisai Anoa buatan tempatan yang dibina PT Pindad.
Sebelumnya, empat Pandur II 8x8 CZ telah diterima oleh tentera Indonesia pada September 2017 dalam konfigurasi kenderaan tempur infantri (IFV).
Sebuah daripadanya dipadankan dengan turet Ares UT30MK2 yang dipasang dengan meriam kaliber 30mm.
Dua kenderaan dilengkapi sistem kawalan automatik dengan mesingan 12.7mm manakala sebuah lagi dipasang meriam CMI Defense 105mm sebagai kenderaan sokongan tembakan.


Sepanjang penerimaannya keempat-empat kenderaan itu telah diuji di Indonesia.
Beberapa ciri-ciri pada kenderaan Pandur II 8x8 CZ ini juga telah dilakukan diubah suai untuk disesuaikan dengan corak operasi di sana.
Selain Indonesia, Filipina juga akan menerima 10 buah kenderaan tempur Pandur II 8x8 dengan sistem persenjataan buatan firma Israel, Elbit Systems Land. - DagangNews.com








