Indeks Pengeluaran Perindustrian kembali susut 2.2% pada Jun 2023 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian kembali susut 2.2% pada Jun 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia kembali mencatat penurunan pada Jun 2023 sebanyak 2.2% tahun ke tahun berbanding pertumbuhan positif 4.8% pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tersebut disebabkan oleh kemerosotan dalam sektor pembuatan dan perlombongan dengan masing-masing susut 1.6% (Mei 2023: 5.1%) dan 6.4% (Mei 2023: 2.9%).

 

“Sementara itu, pengeluaran sektor elektrik menyederhana kepada 2.8% berbanding 5.9% yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 2.2% berbanding 7.3% pada Mei 2023,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (Gambar dari FB DOSM)
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (Gambar dari FB DOSM)

 

 

Menurut Mohd Uzir, pengeluaran pembuatan merosot pada Jun 2023 akibat industri berorientasikan eksport menurun 3.9% (Mei 2023: 2.8%), penyusutan kedua bagi tahun ini selepas yang direkodkan pada April 2023.

 

Tambahnya, ia dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (10.8%); serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (4%), selari dengan prestasi eksport negara yang jatuh 14.1% pada Jun 2023.

 

“Di peringkat global, situasi yang sama turut dialami oleh pelbagai negara yang berdepan dengan ketidaktentuan dalam permintaan luaran bagi barangan, sekali gus mempengaruhi prestasi industri berorientasikan eksport negara,” jelasnya.

 

Sebaliknya, industri berorientasikan domestik terus berkembang walaupun pada kadar lebih perlahan sebanyak 4.1% berbanding 10.1% pada bulan sebelumnya, dipacu oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (6.7%); dan pembuatan produk prosesan makanan (5.8%).

 

 

Indeks Pengeluaran Perindustrian

 

 

Mohd Uzir menambah bahawa pengeluaran sektor perlombongan menurun 6.4% pada Jun 2023, mencatatkan kadar pertumbuhan terendah sejak Mei 2022 (7.4%), dipengaruhi kemerosotan kedua-dua gas asli, serta minyak mentah dan kondensat, masing-masing susut 7.8% dan 4.5%.

 

Bagaimanapun, pengeluaran elektrik meningkat sederhana 2.8% pada Jun 2023, selepas pertumbuhan 5.9% pada bulan lalu, mankala indeks elektrik menurun 5.3% berbanding pertumbuhan positif 9.3% sebelumnya.

 

Secara keseluruhannya, pada suku kedua 2023, IPP mencatatkan penurunan marginal 0.3% berbanding pertumbuhan 2.9% yang direkodkan pada suku pertama 2023.

 

Pada tempoh tersebut, indeks perlombongan merosot 2.8%, manakala sektor pembuatan meningkat sedikit 0.1%, sementara penjanaan elektrik meningkat 2.8%, meneruskan aliran menaik bagi dua suku tahun berturut-turut.

 

Merumuskan prestasi IPP bagi enam bulan pertama 2023, Mohd Uzir berkata, “IPP menyederhana kepada 1.3% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari - Jun 2022: 5.4%). Peningkatan ini disokong oleh indeks pembuatan (1.7%) dan indeks elektrik (1.6%). Sebaliknya, indeks perlombongan turun sebanyak 0.4%.” - DagangNews.com