Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 2.7% pada suku kedua 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 2.7% pada suku kedua 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHRP) mencatatkan 114.9 mata pada suku tahun kedua 2023, peningkatan 2.7% berbanding 111.9 pada suku yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kebanyakan subsektor merekodkan peningkatan harga pada suku ini. 

 

Beliau berkata, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 6.3% berbanding 8.3% pada suku pertama 2023 disebabkan oleh peningkatan dalam restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak mencatatkan 7.2%.

 

Manakala, subsektor pengangkutan meningkat 4.8% berbanding 6.5% pada suku pertama 2023 disumbangkan oleh pengangkutan penumpang udara mencatatkan 19.5%. 

 

"Pada masa yang sama, subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah kesenian, hiburan dan rekreasi yang meningkat 2%, pendidikan (1%), profesional (0.5%) dan kesihatan (0.3%). 

 

"Sementara itu, indeks aktiviti hartanah mencatatkan sedikit penurunan negatif 0.1% dan indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah," katanya dalam kenyataan media laporan IHPRP suku tahun kedua 2023 di sini.

 

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPRP meningkat 0.2% berbanding 0.3% yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya. 

 

 

dosm

 

 

Katanya, ini disebabkan oleh kenaikan dalam indeks kesenian, hiburan dan rekreasi (3.9%), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.7%), pendidikan (0.2%) dan profesional (0.1%). 

 

"Bagaimanapun, indeks Pengangkutan mencatatkan penurunan negatif 0.6% dan indeks bagi kesihatan, aktiviti hartanah dan maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah," katanya. - DagangNews.com