Imigresen FC muncul juara MBSB Bank Championship 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Imigresen FC muncul juara MBSB Bank Championship 2023

Imigresen FC diraikan pada majlis khas di Menara MBSB Bank, PJ Sentral hari ini menerima piala kejuaraan, pingat dan juga wang tunai bernilai RM100,000.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Imigresen FC muncul sebagai juara MBSB Bank Championship 2023 setelah pasukan tersebut meraih kemenangan ke atas Melaka FC dalam perlawanan akhir di Stadium Hang Tuah, Melaka.

 

Imigresen FC yang diraikan pada majlis khas di Menara MBSB Bank, PJ Sentral hari ini menerima piala kejuaraan, pingat dan juga wang tunai bernilai RM100,000.

 

MBSB Bank Championship 2023 yang bermula pada 4 Mac 2023 dan berakhir 21 Oktober 2023 telah melibatkan 165 perlawanan, yang dijalankan mengikut format liga membabitkan sekurang-kurangnya enam perlawanan setiap minggu.

 

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, gelaran kejuaraan MBSB Bank Championship 2023 sah menjadi milik Imigresen FC hasil kemenangan 1-0 ke atas Melaka FC di Stadium Hang Tuah, selepas KL Rovers hanya mampu terikat seri 1-1 pada aksi di Stadium UPM, Serdang.

 

 

•	Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Datuk Nor Azam M. Taib
(Dari kiri) Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Datuk Nor Azam M. Taib

 

 

“The Mighty Tigers menamatkan saingan selepas mengumpul 55 mata hasil 17 kemenangan, seri empat dan tiga kekalahan, manakala KL Rovers naib juara dibezakan hanya satu mata selepas mencatatkan 16 kemenangan enam seri dan dua kekalahan.

 

“Tempat ketiga pula milik Harini Selangor FT yang mengumpul 51 mata, manakala Bukit Tambun FC di tempat keempat dengan 48 mata,” ujar beliau.

 

Mengulas saingan MBSB Bank Championship 2023, Mohd Yusoff melihat ia satu kejayaan hasil kerjasama dengan MBSB Bank Berhad bagi menghangatkan kancah saingan bola sepak tempatan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berharap kejayaan Imigresen FC menyuntik semangat kepada semua kelab di AFL untuk terus berdaya saing dan lebih maju jaya di masa akan datang.

 

“Penganjuran MBSB Bank Championship 2023 merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan dan kami bersyukur ia berjalan dengan lancar, di mana kerancakannya berterusan hingga ke perlawanan minggu terakhir,” tambahnya.

 

 

imigresen

 

 

Sebanyak 13 pasukan berentap merebut piala MBSB Bank Championship 2023 dan mereka terdiri daripada, Imigresen FC, KL Rovers, Harini Selangor FC, Bukit Tambun FC, Sains FC, Malaysia University Football Team (MUFT), Perlis United FC, PIB Shah Alam FC, Armed Forces FC, Melaka FC, Manjung City FC, Sarawak United FC dan Naga Ultimate FC.

 

Pemenang Kasut Emas MBSB Bank Championship 2023 dimenangi oleh Abdul Azim Rahim juga dikenali sebagai Balo, dari Imigresen FC. Kehandalan pemain berusia 26 tahun yang berasal dari Melaka itu terserlah setelah menjaringkan 24 gol sepanjang 22 penampilan pada musim ini.

 

Bersempena MBSB Bank Championship 2023, MBSB Bank juga menganjurkan kempen ‘Dare To Dream’, di mana 12 pemain AFL terpilih akan berpeluang untuk berlatih di Compton Park Training Ground di England.

 

Kempen ‘Dare To Dream’ juga menawarkan peluang kepada 500 pemegang akaun simpanan M Junior-i MBSB Bank yang terpilih untuk menyertai latihan bola sepak bersama jurulatih Wolverhampton Wanderers atau Wolves di Kuala Lumpur.

 

Manakala, lapan pemenang kempen ‘Winners Are Dreamers’ pula berpeluang untuk menonton Piala Liga Inggeris (EPL) di England bersama pasangan masing-masing.  - DagangNews.com