IMF semak turun pertumbuhan global 2023 kepada 2.8%, MIDF Research unjur KDNK Malaysia berkembang 4.5% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IMF semak turun pertumbuhan global 2023 kepada 2.8%, MIDF Research unjur KDNK Malaysia berkembang 4.5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 April - Walaupun unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi gambaran pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan pada 2023 namun MIDF Research menjangkakan pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat 4.5% bagi tahun ini dan 2024.

 

Firma itu berkata, kadar pertumbuhan itu akan disokong oleh daya tahan kedua-dua pasaran pekerjaan dan kelembapan data inflasi.

 

Katanya, semakan IMF dipengaruhi ketidaktentuan pasaran kewangan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) selain perang yang tidak dapat diselesaikan di Ukraine.

 

"Pertumbuhan KDNK global masih dalam trajektori mengembang terutamanya disokong oleh pembukaan semula China dan tekanan inflasi yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi global menurun kepada 2.8% tahun ini berbanding unjuran awal sebanyak 2.9% dan berbanding pertumbuhan pada 2022 sebanyak 3.4%.

 

Firma itu berkata, unjuran IMF adalah lebih rendah berbanding angka yang dikeluarkan pada Januari 2023.

 

Badan antarabangsa itu menjangkakan dasar monetari akan diperketatkan untuk mengurangkan inflasi, kemerosotan dalam keadaan pasaran kewangan dan risiko geopolitik khususnya di EU.

 

“Bagaimanapun, IMF menyemak naik bagi kawasan Amerika Syarikat dan Eropah sebanyak 1.6% berbanding 1.4% pada Januari 2023 dan 0.8% berbanding 0.7% pada Januari 2023.

 

"Kami berpendapat daya tahan kedua-dua pasaran pekerjaan dan data inflasi yang lemah menyokong kadar pertumbuhan," katanya.

 

IMF menyemak turun beberapa ekonomi utama seperti Jerman, Jepun dan India, sambil mengekalkan ramalannya untuk China pada 5.2% pada 2023 dan 4.5 % pada 2024.

 

Firma itu berkata, unjuran itu meningkat sedikit daripada sasaran KDNK kerajaan China sebanyak 5%.

 

“IMF menjangkakan ekonomi China menikmati faedah pembukaan semula ekonomi dan kesan limpahan positif untuk disebarkan ke seluruh rantau ini.

 

"Selaras dengan itu, IMF menaikkan unjuran Asean-5 daripada 4.3% kepada 4.5% untuk tahun ini," katanya. - DagangNews.com