Imbas kad Visa naik bas Causeway Link Malaysia-Singapura | DagangNews Skip to main content

Imbas kad Visa naik bas Causeway Link Malaysia-Singapura

Handal Indah Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2003 dengan hanya 8 bas, sekali gus memecahkan monopoli selama 30 tahun dalam perkhidmatan bas rentas sempadan yang dipegang oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura.
Oleh Mohamad Iman

JOHOR BAHRU 21 Jun — Perjalanan antara Malaysia dan Singapura kini menjadi lebih mudah bagi pengguna harian yang berulang-alik, dengan hanya mengetik kad tanpa sentuhan Visa apabila menaiki bas Causeway Link.

 

Visa, dengan kerjasama Handal Indah Sdn Bhd (pengendali Causeway Link), penyedia perkhidmatan bas awam terbesar di Johor Bahru, akan menawarkan perkhidmatan pembayaran tanpa sentuhan gelung terbuka pada lebih 100 bas Causeway Link yang beroperasi ulang-alik merentasi sempadan.

 

Percubaan rintis penyelesaian ini telah dilaksanakan di tiga laluan tempatan terpilih sejak September 2021 dan penyelesaian akan dilancarkan di lebih banyak laluan tahun ini.

 

Sejajar dengan pelancaran inisiatif pembayaran tanpa tunai Causeway Link, penyelesaian ini akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi perkhidmatan bas rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura, dan fasa seterusnya akan disediakan untuk laluan tempatan yang dikendalikan oleh Causeway Link di sekitar Johor Bahru, termasuk program myBAS SBST.

 

Kira-kira 400 terminal pembayaran tanpa sentuhan akan dipasang dan semua bas Causeway Link akhirnya akan menyediakan kemudahan menerima bayaran tanpa sentuhan.

 

Pengurus Besar Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, kemudahan ini merupakan inisiatif sulung untuk Visa mengubah pengalaman pembayaran bagi bas-bas awam yang merentasi negara berbeza dan kerjasama ini sememangnya tepat pada masanya susulan pembukaan sempadan antara Singapura dan Malaysia.

 

Menurut beliau, pembayaran tanpa sentuhan semakin popular di Malaysia dan pada hari ini, Malaysia adalah salah sebuah negara di Asia Pasifik yang paling pantas menerima pakai kaedah pembayaran tanpa sentuhan.

 

"Transaksi tanpa sentuhan bulanan telah naik tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun lepas dan kadar penembusan tanpa sentuhan kini hampir mencecah 70 peratus.

 

"Di Singapura, 9 daripada 10 pemegang kad Visa menggunakan pembayaran tanpa sentuhan. Oleh yang demikian, kami percaya penyelesaian ini akan membawa manfaat kepada pengguna dari kedua-dua buah negara.

 

"Usaha menggalakkan penerimaan bayaran tanpa sentuhan gelung terbuka bagi kemudahan transit adalah salah satu langkah penting yang menyokong matlamat kita menjadi sebuah bandar raya pintar,” tambahnya.

 

 

visa

 

 

Causeway Link kini menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai tersendiri sejak 2012 dan langkah memperkenalkan penerimaan bayaran tanpa sentuhan adalah salah satu daripada inisiatif yang dilaksanakannya untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai.  

 

Penerimaan transaksi gelung terbuka oleh Visa menawarkan pilihan pembayaran tambahan bagi para penumpang Causeway Link untuk membayar tambang bas di Johor dan juga untuk berulang-alik merentasi sempadan.

 

Sementara itu, Lim Han Weng, Pengarah Handal Indah Sdn Bhd berkata, pembayaran terbuka dan pengalaman lebih lancar adalah salah satu inisiatif yang syarikat bas itu ambil untuk kemudahan pengguna. - DagangNews.com