IIM, KUIPs jalin kerjasama strategik bangunkan program kesedaran nilai integriti dan tata kelola | DagangNews Skip to main content

IIM, KUIPs jalin kerjasama strategik bangunkan program kesedaran nilai integriti dan tata kelola

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik khususnya membangunkan program-program, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan secara usaha sama.

 

IIM berkata, kerjasama tersebut juga merangkumi aspek kesedaran dan advokasi berkenaan dasar serta pembudayaan nilai integriti, governans dan antirasuah berfokuskan kepada integriti dan tatakelola.

 

Katanya, jalinan kerjasama itu diharap dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, khususnya dalam usaha meningkatkan iltizam dan komitmen warga institusi dalam membudayakan nilai ketelusan dan integriti. 

 

"Antara inisiatif yang akan memberi manfaat melalui usaha sama ini adalah dengan mengadakan program bersama kesedaran dan advokasi mengenai nilai integriti dan tata kelola, penyelidikan dan perundingan dalam pengukuhan nilai integriti dan tata kelola.

 

"Manakala, ia turut meliputi pelaksanaan hasil penyelidikan dalam pengukuhan nilai integriti dan tata kelola dalam sektor pendidikan, awam dan korporat di Malaysia, penganjuran persidangan dan seminar dalam skop integriti serta tata kelola dan penerbitan dalam aspek pelaksanaan skop MoU," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Nor Yahati Awang mewakili IIM bagi sesi pertukaran MoU tersebut, manakala KUIPs diwakili oleh Rektor KUIPs, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle. 

 

Ia turut disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim dan Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa KUIPs, Prof Madya Dr Abdul Basir Awang @ Mohd Ramli.

 

 

IIM
Datuk Nor Yahati Awang (kanan) bertukar MoU dengan Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle (kiri) bagi menjalin kerjasama strategik antara IIM dan KUIPs, di Perlis baru-baru ini.

 

 

Pada majlis tersebut turut diadakan Pelancaran Rakan Integriti KUIPs melibatkan warga kerja KUIPS dan Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa. 

 

 

IIM

 

 

Majlis itu dihadiri seramai lebih 200 orang melibatkan pengurusan tertinggi IIM, pegawai tertinggi KUIPs, mahasiswa KUIPs dan lain-lain turut menyaksikan secara penstriman langsung di Facebook rasmi KUIPs. - DagangNews.com