ICAEW, MARA tawar biasiswa penuh tingkatkan penyertaan Bumiputera dalam perakaunan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICAEW, MARA tawar biasiswa penuh tingkatkan penyertaan Bumiputera dalam perakaunan

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan program biasiswa yang dibiayai sepenuhnya, yang mana membolehkan graduan pertamanya melengkapkan kelayakan menjelang tahun 2026.

 

ICAEW berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan penyertaan golongan Bumiputera dalam profesion perakaunan dan kewangan melalui penciptaan peluang pendidikan.

 

Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 200 pelajar yang mendaftar dalam program dengan MARA, dengan kuota sarjana ICAEW itu meningkat kepada 70 tempat pada tahun ini, manakala kuota Yayasan Peneraju meningkat sebanyak 30 tempat kerana kadar pendaftaran yang berjaya.

 

Peneraju Pelaksanaan Program Teras (Profesional), Herlina Ahmad berkata, Yayasan Peneraju bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera di Malaysia, sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. 

 

Katanya, ia dicapai melalui pelbagai program pendidikan yang merangkumi bidang akademik, vokasional, profesional, teknologi dan pensijilan pakar. 

 

"Kerjasama dengan organisasi seperti ICAEW adalah penting untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang seperti perakaunan. Perkongsian ini memudahkan penghasilan profesional bertauliah sejajar dengan matlamat negara, seperti melahirkan 60,000 akauntan profesional menjelang tahun 2030," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Herlina, kekurangan perwakilan Bumiputera dalam profesion seperti perakaunan menggariskan keperluan untuk usaha bersepadu bagi menggalakkan penyertaan. 

 

 

icaew
Shenola Gonzales

 

 

Katanya, kerjasama dengan ICAEW memainkan peranan penting dalam mengurangkan jurang itu dengan menyediakan peluang pendidikan dan memupuk kerjasama bagi menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam sektor utama.

 

Ketua ICAEW Malaysia, Shenola Gonzales berkata, antara tema menyeluruh yang diperjuangkan pihaknya dengan menggalakkan kepelbagaian lebih besar dalam bidang perakaunan bertauliah. 

 

“Sebagai golongan profesional dalam perakaunan dan kewangan yang terlibat dalam pelbagai sektor, kami amat menyedari kesan negatif yang timbul akibat tidak mengamalkan kepelbagaian dan keterangkuman dalam perniagaan dan organisasi di bawah bimbingan dan nasihat kami. 

 

"Mengambil langkah proaktif pada masa ini bermakna membuat pelaburan pada masa hadapan, dengan potensi untuk meningkatkan kesejahteraan ramai individu dan memastikan kemakmuran ekonomi jangka panjang serta daya tahan perniagaan kami," katanya.

 

Selain itu, ICAEW juga menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar Bumiputera lepasan SPM yang layak melalui Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) MARA, yang mana membolehkan mereka mencapai kelayakan ACA ICAEW, yang membawa kepada pengiktirafan sebagai akauntan bertauliah. - DagangNews.com