Hutang isi rumah Malaysia cecah RM1.53 trilion, RM192.8 bilion akibat pinjaman peribadi - MoF | DagangNews Skip to main content

Hutang isi rumah Malaysia cecah RM1.53 trilion, RM192.8 bilion akibat pinjaman peribadi - MoF

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Mac - Hutang kad kredit isi rumah di Malaysia berjumlah RM45.9 bilion manakala pembiayaan peribadi pula sebanyak RM192.78 bilion.

 

Menurut data Kementerian Kewangan, hutang isi rumah Malaysia setakat penghujung tahun 2023 menunjukkan hutang pembiayaan peribadi pula berjumlah RM192.78 bilion.

 

Ketiga-tiga jenis hutang itu adalah hutang perbelanjaan atau consumption yang membentuk 29.9% daripada keseluruhan hutang isi rumah Malaysia setakat hujung tahun lalu.

 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, jumlah hutang isi rumah secara agregatnya berjumlah RM1.53 trilion pada akhir tahun 2023. 

 

Katanya, sebahagian besar hutang isi rumah adalah digunakan bagi tujuan pengumpulan harta yang merangkumi pinjaman perumahan (60.5%), pembelian harta bukan kediaman (5.3%) dan pembelian sekuriti (4.3%).

 

"Sementara itu, baki 29.9% pula adalah bagi tujuan perbelanjaan seperti pinjaman untuk pembelian kenderaan (13.2%), pembiayaan peribadi (12.6%) dan kad kredit (3.0%)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

 

Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta menyatakan apakah dasar dan usaha Kerajaan untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah.

 

lim
LIM HUI YING

 

Sementara itu, Hui Ying berkata, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko keberhutangan isi rumah bagi memastikan perkara itu tidak menimbulkan kesan negatif kepada kestabilan sistem kewangan negara.

 

Menurutnya, kerajaan sedar mengenai risiko keberhutangan isi rumah yang tinggi, justeru pendekatan yang lebih mampan akan dilaksanakan.

 

"Oleh yang demikian, kerajaan sedang melaksanakan reformasi dan perubahan struktur terhadap ekonomi domestik berteraskan Kerangka Ekonomi MADANI supaya daya saing dan prestasi ekonomi negara dapat dipertingkatkan.

 

"Melalui usaha ini, pendapatan serta kesejahteraan rakyat akan dapat dipertingkatkan seterusnya membantu untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah," jelasnya.

 

Hui Ying berkata, antara usaha berterusan kerajaan termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012 untuk memastikan individu meminjam mengikut kemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengelakkan bebanan hutang berlebihan.

 

"Kedua, meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) agar pengguna perkhidmatan kewangan mempunyai keupayaan dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang baik," katanya.

 

Beliau berkata usaha lain ialah menggalakkan isi rumah yang ingin membuat keputusan kewangan yang besar seperti pembelian rumah untuk mengikuti program pendidikan kewangan secara talian yang disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

 

Kata Hui Ying, isi rumah yang mempunyai masalah pengurusan kewangan dan hutang digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan perkhidmatan penyusunan semula hutang daripada pihak bank dan AKPK.

 

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk membenarkan isi rumah mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengurangkan beban keberhutangan isi rumah.- DagangNews.com