KUALA LUMPUR 6 Sept - HSS Engineers Berhad telah memeterai perjanjian utama (HOA) dengan pembekal perkhidmatan dron, ProPick Digital Solutions & Consulting Sdn Bhd (ProPick) untuk menubuhkan syarikat usahasama bagi mengubah sektor kejuruteraan dengan teknologi dron dipacu kecerdasan buatan (AI) termaju.
Dalam satu kenyataan media hari ini, HSS Engineers berkata anak syarikatnya, HSS Technologies Sdn Bhd akan memegang 70% dalam entiti baharu tersebut, iaitu HSS-ProPick Technologies Sdn Bhd, manakala baki 30% pegangan adalah untuk ProPick.
Diperbadankan pada tahun 2020, ProPick merupakan organisasi transformasi digital tercanggih yang menawarkan rumusan kontemporari dan standard industri yang dikuasakan oleh teknologi AI, berserta rumusan dipacu dron pintarnya.
ProPick, sebagai pemain perkhidmatan dron baharu muncul, telah mengetuai pelbagai inisiatif merentasi pelbagai sektor termasuk pertanian digital, pengurusan kemudahan, telekomunikasi, penjagaan kesihatan, pembinaan dan tenaga di Asia Tenggara.
Sebagai sebahagian daripada HOA, Propick akan memindahkan semua hak Harta Intelek (IP) kepada HSS-Propick Technologies, sekali gus membuka jalan bagi pelaksanaan pantas perkhidmatan dron dipacu AI di seluruh perniaggan kumpulan dan dilanjutkan ke dalam pelbagai industri di Asia Tenggara .
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif HSS Engineers, Ir. Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah berkata syarikat usahasama tersebut membolehkan HSS Engineers meneruskan kemajuan teknologi kumpulan yang memanfaatkan semua projek semasa dan masa depan dalam bidang kuasanya.
“Kami bukan sahaja menerima tetapi juga mempercepatkan penggunaan teknik kontemporari untuk memajukan evolusi industri pembinaan dan membina trajektori pertumbuhan organik dalam pembinaan digital.
“Sama seperti penggunaan pemodelan maklumat bangunan (BIM), memanfaatkan kepakaran ProPick menyediakan rumusan dipacu dron meningkatkan kecekapan teras kami dalam industri kejuruteraan, serta memberikan tahap ketepatan dan pemantauan yang lebih tinggi merentasi semua perniagaan kami,” ujar beliau.
Menurut Sharifah Azlina, projek utama kumpulan itu kini menggunakan dron bagi mendapatkan risikan tapak dalam masa nyata untuk pemetaan dan pemantauan kemajuan, termasuk untuk Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang dan Lebuhraya Pan Borneo, Sabah.
Buku pesanan HSS Engineers setakat ini berjumlah lebih RM1.48 bilion, merentasi sektor rel, jalan raya, pengangkutan, sektor air, tenaga boleh diperbaharui serta digital dan teknologi.
Saham HSS Engineers ditutup tinggi pada 63.5 sen, menokok 0.5 sen atau 0.8% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM314.9 juta. - DagangNews.com








