KUALA LUMPUR 7 Sept - HSBC melancarkan perkhidmatan pembukaan akaun pelaburan melalui aplikasi perbankannya yang membolehkan pelanggan membuka akaun pelaburan dengan bank melalui kemudahan telefon mudah alih mereka.
Perkhidmatan ini disediakan dalam tab Wealth dalam aplikasi perbankan mudah alih HSBC Malaysia.
Melalui perkhidmatan pembukaan akaun pelaburan mudah alih, pelanggan Premier HSBC boleh membuka secara serentak akaun unit amanah, bon dan sukuk.
HSBC juga merupakan bank pertama di Malaysia yang menawarkan pelanggan pilihan untuk membuka akaun pelaburan bon/sukuk melalui aplikasi perbankan mudah alih HSBC.
Ketua Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, pendigitalan merupakan bahagian utama dalam perniagaan kekayaan pihaknya, dalam usaha untuk terus mengutamakan kemudahan pelanggan, dan pelancaran pembukaan akaun pelaburan digital adalah bukti komitmen mereka.
"Ketika pelanggan membina portfolio kekayaan mereka di Malaysia dan di seluruh dunia, kami akan memanfaatkan kekukuhan rangkaian antarabangsa HSBC untuk memainkan peranan penting dalam perjalanan mereka, dengan menyediakan pelanggan kami akses kepada produk dan perkhidmatan utama pasaran.
"Rumusan kekayaan kami adalah luas dengan rangkaian komprehensif unit amanah, bon/sukuk, pelaburan berstruktur, pelaburan dwi mata wang, mata wang asing dan insurans.

"Kami menggunakan model hibrid pengurus libat urus dan pakar kekayaan, disokong oleh keupayaan kekayaan digital untuk memberi perkhidmatan yang menyeluruh kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Untuk terus berurus niaga dalam bon/sukuk (aktiviti dagangan/pembelian/penjualan), pelanggan Premier HSBC masih memerlukan bantuan pengurus perhubungan mereka, sama ada secara bersemuka atau melalui perkhidmatan libat urus jarak jauh, yang merupakan saluran alternatif untuk pelanggan berinteraksi dengan HSBC tanpa perlu hadir secara fizikal di cawangan, dan disokong oleh Zoom dan Live Sign.
Pelanggan juga dengan mudah boleh memindahkan wang ke dalam akaun kekayaan mereka menggunakan platform digital ini, serta memantau prestasi unit amanah, pelaburan berstruktur, bon/sukuk dan pelaburan dwi mata wang mereka dengan HSBC melalui papan pemuka Wealth pada aplikasi perbankan mudah alih HSBC Malaysia.
Sementara itu, bagi mempercepatkan pertumbuhan perniagaan kekayaannya di Asia dan memacu hasratnya untuk menjadi bank kekayaan terkemuka di rantau ini, HSBC mengumumkan rancangan pada 2021 untuk melabur lebih AS$3.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
HSBC Malaysia mempunyai aspirasi untuk menggandakan Aset Bawah Pengurusan (AUM) menjelang 2025 (daripada kedudukan AUM 2020) dengan tumpuan khusus dalam bidang seperti unit amanah dan pelaburan berstruktur di samping turut mempercepatkan keupayaan mudah alih kekayaan dan digitalnya. - DagangNews.com








