HLIB sedikit positif terhadap langkah DNeX teroka usaha niaga bandar pintar di rantau MENA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB sedikit positif terhadap langkah DNeX teroka usaha niaga bandar pintar di rantau MENA

KUALA LUMPUR 24 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) sedikit positif terhadap kerjasama Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dengan firma China dan Arab Saudi untuk meneroka usaha niaga bandar pintar di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

 

Firma penyelidikan itu menilai kumpulan itu berdasarkan usaha aktif DNeX untuk mengembangkan perniagaan teknologi maklumat (IT) dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya dalam sektor awam di Malaysia.

 

"Sekiranya usaha niaga itu membuahkan hasil, DNeX sebahagian besarnya akan bertanggungjawab untuk menyediakan pengetahuan teknikal dan menyediakan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kerja penyelenggaraan seterusnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Perjanjian usaha sama (JV) yang baharu dibentuk dengan Zhongheguoji Construction Group Co Ltd (CSI) dan perjanjian kerjasama antara kedua-dua JV yang akan diperbadankan menunjukkan usaha berterusan DNeX di rantau MENA dengan memanfaatkan rumusan teknologi dari China dan akses ke rantau tersebut menerusi Ajlan & Bros.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: DNeX bekerjasama dengan syarikat IT China membida projek bandar pintar berskala besar di Arab Saudi

 

 

Usaha ini adalah bersempena dengan objektif Wawasan Arab Saudi 2030 berikutan sasaran kerajaan itu untuk melaksanakan projek bandar pintar di seluruh bandar seperti Makkah, Riyadh, Jeddah, Al-Madinah dan Al-Ahsa.

 

Ini membolehkan DNeX memanfaatkan perbelanjaan ICT yang semakin meningkat dalam beberapa tahun akan datang.

 

Sehubungan itu, HLIB berkata ia telah merombak modelnya dan memperkenalkan semula unjuran 18 bulan tahun kewangan 2023 (18MFY23), FY24 dan FY25 masing-masing pada RM160.6 juta, RM145.2 juta dan RM179 juta.

 

“Kami tidak memasukkan perkembangan baharu ini ke dalam ramalan kami sehingga beberapa kemenangan kontrak diumumkan," tambahnya.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan ‘beli’ pada DNeX dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 71 sen sesaham.

 

Pada pukul 2:31 petang ini, saham DneX menokok 0.5 sen atau 1.2% kepada 42 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM1.3 bilion.  - DagangNews.com