HLIB potong unjuran pendapatan FY24-FY26 Ancom Nylex sehingga 11% kesan kelewatan pemasaran produk kimia baharu | DagangNews Skip to main content

HLIB potong unjuran pendapatan FY24-FY26 Ancom Nylex sehingga 11% kesan kelewatan pemasaran produk kimia baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memotong unjuran pendapatan Ancom Nylex Bhd bagi FY24/FY25/FY26 masing-masing sebanyak 11%, 9% dan 5% selepas mengambil kira kelewatan kumpulan memasarkan produk kimia baharu.

 

Katanya, pelarasan itu dibuat selepas kumpulan itu hanya akan membawa bahan kimia T ke pasaran pada 2QFY25 manakala bahan kimia S pada 2QFY26 dan seterusnya.

 

"Permulaan pengeluaran bahan kimia T menghadapi beberapa kelewatan berbanding jangkaan awal pada akhir 2023 disebabkan isu berkaitan isu kastam bagi mengimport bahan perantara dari China ke Malaysia.

 

"Keadaan itu juga ditambah dengan pemasangan mesin baharu pada pertengahan 2024 selain beberapa isu lain, sumbangan daripada bahan kimia T hanya akan bermula pada 2QFY25 dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 21.6% bagi suku ketiga berakhir 29 Februari 2024 (3QFY24) disokong oleh peningkatan margin bagi bahagian kimia pertanian dan bahan kimia industrinya.

 

Kumpulan itu melaporkan untung bersih RM20.11 juta bagi suku itu, lebih tinggi daripada suku tahun sebelumnya sebanyak RM16.36 juta. Hasil meningkat 6.8% kepada RM516.78 juta daripada RM483.95 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ketegangan di Asia Barat juga memberikan cabaran dan peningkatan perbelanjaan berkaitan barangan import.

 

"Ancom Nylex melihat peningkatan pertanyaan daripada bakal pelanggan bagi mempelbagaikan sumber bekalan mereka akan membantu kumpulan itu meningkatkan pertumbuhan pesanan untuk produk monosodium methanearsonate (MSMA)," katanya.

 

HLIB berkata, pihaknya memihak kepada Ancom Nylex  kerana kedudukannya yang unik sebagai pengeluar tunggal berskala besar bahan aktif untuk racun herba di Asia Tenggara.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan didorong oleh pengenalan bahan aktif baharu dalam perancangan syarikat," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.47 sesaham. - DagangNews.com