Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap CTOS Digital Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.45 sesaham.
Penilaian premium yang diberikan itu adalah wajar memandangkan CTOS Digital dijangka berkembang lebih pantas berbanding pemain industri yang lain dengan pertumbuhan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22 masing-masing pada 27% dan 26% (berbanding purata pemain global pada 12% dan 10%).
Penganalisisnya, Jeremy Yap berkata, saham CTOS Digital memiliki beberapa kelebihan terutama prospeknya yang cerah dalam industri Laporan Kredit ASEAN.
Malah, katanya, kumpulan juga merupakan peneraju agensi laporan kredit di Malaysia dengan anggaran penguasaan pasaran sebanyak 71.2% pada 2020.
"Di Malaysia sejak 1992 lagi, CTOS Digital membolehkan penyepaduan langsung pangkalan datanya dengan sistem beberapa institusi kewangan yang telah melanggan perkhidmatan pelaporan kreditnya.
"Dengan 3 dekad sejarah perkhidmatan dengan bank dan institusi kewangan tempatan, pelbagai produk dan penyelesaian digitalnya, bersama sistem pemarkahan, membolehkan CTOS Digital menyediakan penyelesaian digital sehenti untuk kebanyakan operasi harian runcit dan industri perbankan komersial," katanya dalam nota kajian hari ini.
Beliau juga mendapati, CTOS Digital turut menjalin hubungan jangka panjang bukan sahaja dengan bank, tetapi termasuk syarikat telekomunikasi dan pelanggan korporat yang lain.
"Ini secara tidak langsung menjadikan produk dan perkhidmatannya menjadi sebahagian daripada proses perniagaan pelanggannya, dan menyebabkan mereka sukar beralih kepada penyelesaian yang ditawarkan agensi lain," jelas beliau.
Kira-kira 75% daripada hasil pelanggan Akaun Utama CTOS Digital bersifat berulang dan telah mengekalkan 100% pelanggannya itu sejak 2017.
Didapati 5 pelanggan utama kumpulan juga merupakan pelanggan untuk tempoh yang sangat lama antara 12 hingga 19 tahun.
CTOS Digital, merupakan peneraju biro kredit serantau di ASEAN dengan kehadiran di Malaysia dan Thailand.
Kini, kumpulan menyasarkan untuk berkembang di Malaysia dalam segmen automotif, insurans dan hartanah menerusi penyelesaian digital inovatif. - DagangNews.com








