HLIB jangka prospek Hiap Teck kekal lemah pada separuh pertama FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB jangka prospek Hiap Teck kekal lemah pada separuh pertama FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik penarafan terhadap Hiap Teck Venture Bhd. kepada 'beli' daripada 'pegang' sebelum ini berikutan prospek jangka sederhana yang positif terutama di China.

 

Harga sasaran juga dinaikkan kepada 33 sen daripada 24 sen sesaham berdasarkan tujuh kali pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (FY24) sebanyak 4.8 sen.

 

Menurut firma itu, China melonggarkan peraturan pengesanan COVID-19 yang menunjukkan hasrat kerajaan untuk membuka semula ekonomi dan melaksanakan rancangan rangsangan yang diumumkannya.

 

Selain itu, katanya, pakej sokongan kerajaan untuk memulihkan sektor hartanah di China termasuk meminta bank melancarkan pinjaman mereka kepada sektor hartanah, dan menyediakan tempoh yang lebih lama untuk pemaju menyiapkan projek yang belum selesai.

 

“Walaupun keyakinan yang timbul daripada pembangunan mungkin tidak diterjemahkan ke dalam permintaan keluli sebenar secepat ini (disebabkan faktor bermusim), tetapi terdapat petunjuk yang memberi isyarat bahawa sektor keluli tidak lama lagi akan keluar dari tempoh terburuk.

 

“Ini termasuk tahap inventori bijih besi dan keluli yang rendah di China, berkemungkinan akan menyokong aktiviti penyimpanan semula dalam jangka pendek, dan pengeluaran keluli mentah yang agak rendah di China," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Namun, HLIB percaya pendapatan Hiap Tech akan melemah disebabkan kos input utama yang tinggi dan harga keluli yang lebih rendah, mengakibatkan kemerosotan mendadak dalam keuntungan.

 

Malah, sentimen permintaan juga tertekan di tengah-tengah trend harga keluli dan aktiviti pembinaan yang lemah.

 

Oleh itu, ia menjangkakan kumpulan akan merekodkan hasil suku pertama (akan diumumkan akhir Disember ini) yang lebih lemah berbanding suku keempat FY22. 

 

"Melangkah ke suku kedua, walaupun margin mungkin akan pulih (apabila input yang diperoleh pada kos yang tinggi telah habis), permintaan masih kekal lemah disebabkan faktor bermusim.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan pendapatan kumpulan akan kekal lemah pada separuh pertama (berakhir 31 Januari 2023), sebelum meningkat semula pada separuh kedua," jelasnya.

 

Setakat 12.04 tengah hari, harga sahamnya susut 1 sen atau 3.77% kepada 25.5 sen dengan 8.34 saham diniagakan. - DagangNews.com