Harga simen Feb 2024 melonjak lebih 10% berbanding bulan sama tahun lalu - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga simen Feb 2024 melonjak lebih 10% berbanding bulan sama tahun lalu - DOSM

Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, menunjukkan harga purata sekarung simen (ordinary Portland) di Semenanjung bulan lalu ialah RM22.54.Gambar hiasan media sosial
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mac - Harga simen didapati meningkat antara 0.9 peratus hingga 10.2 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi perbandingan secara tahunan untuk tempoh Februari 2023 dan Februari 2024.

 

Menurut  Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, harga purata sekarung simen (ordinary Portland) di Semenanjung bulan lalu ialah RM22.54.

 

Jumlah itu ialah peningkatan sebanyak 9.2% berbanding bulan sama tahun lalu bagi harga simen di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis atau 10.2% bagi Terengganu dan Kelantan.

 

Bagaimanapun kata DOSM, perbandingan secara bulanan menunjukkan indeks harga seunit simen kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Februari 2024 berbanding Januari 2024.

 

Harga purata pasir pula melonjak 8.7% bagi perbandingan tahun ke tahun untuk Februari 2024 dengan harga purata bulan lalu RM45.71 satu tan.

 

ikb

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan indeks harga seunit besi merekodkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 1.9 peratus bagi kebanyakan kawasan pada Februari 2024 berbanding Januari 2024. 

 

Peningkatan tertinggi harga seunit besi dicatatkan di Kota Kinabalu (1.9%), diikuti oleh Terengganu & Kelantan dan Sibu (masing-masing 0.7 peratus).

 

 

Kata Dr Mohd Uzir, perbandingan bulanan bagi indeks harga seunit keratan keluli dan logam pula kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak manakala, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan ini bagi Terengganu & Kelantan (0.7%), Johor (0.3%) dan Miri (0.2%).

 

"Perbandingan bulanan bagi simen juga turut menunjukkan indeks harga seunit bahan ini kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Februari 2024. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga bahan binaan meningkat di seluruh negara - DOSM

 

"Namun begitu, terdapat peningkatan kecil bagi indeks harga seunit bahan ini di Perak (0.4%) dan di Pulau Pinang, Kedah & Perlis (0.1%). 

 

"Perbandingan tahunan untuk tempoh Februari 2023 dan Februari 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.9 peratus hingga 10.2 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

"Namun begitu, penurunan kecil direkodkan dalam indeks harga seunit bahan ini di Kota Kinabalu (-0.7%) dan Kuching (-0.1%)," jelasnya.

 

Menurut Ketua Pengarah DOSM itu, perbandingan tahunan bagi indeks harga seunit besi pula menunjukkan penurunan antara negatif 0.2 peratus hingga negatif 5.3 peratus bagi Februari 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

 

Namun begitu, katanya, kawasan yang mencatatkan peningkatan indeks harga seunit besi adalah di Johor (2.1%), Sibu (1.7%), Kota Kinabalu (0.5%).

 

Ketua Perangkawan Malaysia juga menyatakan bahawa purata harga simen (Ordinary Portland) di Malaysia kekal tidak berubah berbanding Januari 2024 dengan purata harga RM22.97 per 50 kg sekarung. 

 

bina

 

"Harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.4%) dengan purata harga RM3,679.54 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Januari 2024: RM3,664.51 per tan metrik)," katanya.

 

Sementara itu, kata DOSM, menurut artikel dari laman sesawang World Bank pada Januari 2024, harga logam diramalkan akan turun lima peratus pada 2024, selepas susut hampir 10 peratus pada 2023 berbanding 2022. 

 

"Namun begitu, ia diunjurkan akan kembali stabil pada tahun 2025. 

 

"Risiko utama kepada ramalan harga ini antaranya adalah permintaan yang lebih perlahan daripada jangkaan dari China dan negara maju lain serta gangguan dalam pengeluaran.

 

"Artikel tersebut turut menyatakan peningkatan konflik terbaharu di Timur Tengah juga boleh mengganggu perdagangan dan kestabilan harga komoditi ini," ujar DOSM.- DagangNews.com