KUALA LUMPUR 22 Julai - Harga minyak mentah Brent dijangka kekal tinggi sepanjang 2022 hingga 2023 dengan diunjur melebihi AS$100 hingga AS$110 setong, demikian menurut Kenanga Research.
Penganalisisnya, Steven Chan berkata, walaupun prospek ekonomi yang lebih lemah mungkin menyaksikan penggunaan menyederhana, tetapi ia dijangka lebih daripada mengimbangi kebangkitan semula China untuk memacu permintaan minyak global.
Pada masa sama, katanya, bekalan minyak global mungkin terus bergelut untuk bersaing dengan permintaan yang lebih tinggi kerana sekatan yang ketat memaksa Rusia menutup banyak telaga.
"Selain itu, meskipun pelarasan sederhana meningkat dalam jumlah pengeluaran yang dirancang Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mungkin memberikan kelegaan jangka pendek, ini mungkin tidak mencukupi untuk mengimbangi pertumbuhan dalam permintaan dan kekangan bekalan dalam beberapa bulan akan datang.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent akan berlegar pada paras AS$100 hingga AS$110 setong bagi 2022 hingga 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.
Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) telah bersetuju untuk mengharamkan 90% daripada import blok minyak mentah dan produk minyak Rusia, yang akan dihapuskan secara berperingkat dalam tempoh 6 hingga 8 bulan akan datang.
Sebelum ini, Rusia menyumbang kira-kira 10% daripada bekalan minyak global manakala 40% daripada bekalan gas Eropah.
Dalam dagangan awal pagi ini, Reuters melaporkan harga minyak secara kasarnya tidak berubah selepas merosot sekitar 3% pada sesi sebelumnya berikutan permintaan yang lemah di Amerika Syarikat (AS), pengguna minyak utama dunia, dan peningkatan bekalan dari Libya.
Niaga hadapan Brent meningkat 17 sen atau 0.2% kepada AS$104.03 setong manakala West Texas Intermediate tidak berubah pada AS$96.35 setong.

Sementara itu, menurut Chan, perbelanjaan modal (capex) dan aktiviti akan pulih dengan mendadak pada suku berikutnya memandangkan Petronas menyemak semula perbelanjannya kepada RM60 bilion berbanding RM40 hingga RM50 bilion sebelum ini.
Jumlah itu, katanya, meningkat hampir sekali ganda daripada RM30.5 bilion capex yang diperuntukkan pada 2021 sebagai persediaan untuk menyambung semula aktiviti.
"Dengan capex pada suku pertama yang masih kurang memberangsangkan, kami yakin bahawa perbelanjaan akan meningkat pada suku tahun akan datang,justeru, diterjemahkan kepada kebangkitan semula tahap aktiviti tempatan.
"Kedudukan tunai bersih Petronas kini berada pada paras tertinggi 3 tahun sebanyak RM90.6 bilion, dengan komitmen dividen kekal tidak berubah pada RM25 bilion meskipun prospek pendapatan adalah lebih baik.
"Namun begitu, kita melihat Petronas berdepan sedikit halangan untuk memenuhi panduan perbelanjaan modalnya sendiri," jelasnya.
Di peringkat global, beliau berkata, capex bagi aktiviti penerokaan dan pengeluaran (E&P) luar pesisir juga dijangka meningkat beberapa tahun akan datang berikutan kekurangan pelaburan sejak beberapa tahun lalu dan mungkin melepasi paras sebelum COVID-19.
Dalam pada itu, menurutnya, disebabkan kesan pendapatan tertunggak daripada pemain minyak dan gas yang tersenarai di dalam negara (kebanyakannya didominasi oleh penyedia peralatan dan perkhidmatan berpusat tempatan), sebarang kenaikan yang bermakna atau mampan masih belum dapat dilihat dalam sektor tersebut, kecuali bagi pemain yang mempunyai kaitan pendapatan tinggi kepada harga minyak.
"Sejak pertengahan tahun lalu, indeks tenaga masih didagangkan dengan perbezaan berbanding kekuatan harga minyak mentah.
"Walaupun ini boleh disebabkan sebahagiannya berpunca daripada kejatuhan beberapa nama terkenal (seperti Sapura Energy Bhd., Serba Dinamik Holdings Bhd.), kami mendapati bahawa hanya saham yang mempunyai kaitan pendapatan langsung yang tinggi dengan harga minyak (seperti Petronas Chemicals Bhd. dan Hibiscus Petroleum Bhd.) telah menikmati kenaikan yang mampan," jelasnya.
Sehubungan itu, secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas berikutan pemulihan prospek aktiviti yang lebih baik dan kenaikan harga minyak mentah.
Pilihan utamanya bagi sektor itu ialah Petronas Chemicals dan Dayang Enterprise Holdings Bhd. dengan kedua-duanya menikmati penarafan 'outperform' pada harga sasaran masing-masing, RM11 dan RM1.25 sesaham. - DagangNews.com








