KUALA LUMPUR 8 April - Prospek pemulihan ekonomi negara masih diselubungi risiko geopolitik yang dicetuskan oleh konflik Rusia-Ukraine dan juga tekanan inflasi global, di sebalik pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April lalu.
Namun, RHB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 5.5%, lebih rendah berbanding ramalan Kementerian Kewangan sebelum ini antara 6.5% hingga 7.5%.
Menurutnya, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang lebih agresif daripada jangkaan dan peningkatan konflik Rusia-Ukraine menjadi risiko utama, di samping kewangan awam domestik yang rapuh, kebimbangan dasar dan peraturan serta perkembangan politik semasa.
Jelasnya, krisis tersebut terbukti memberi kesan kepada inflasi dengan ketara, menyebabkan harga komoditi melonjak tinggi dengan harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah paras tertinggi dalam sejarah manakala harga minyak mentah berlegar melebihi AS$100 setong.
Memandangkan Rusia dan Ukraine juga merupakan pengeluar besar gandum, minyak bunga matahari, jagung dan baja, implikasi kepada rantaian bekalan makanan pertanian adalah sangat besar, dan akan memburukkan lagi tekanan inflasi global yang sudah meruncing sebelum pencerobohan itu berlaku.
"Harga komoditi yang tinggi dan berpanjangan akan meningkatkan risiko penurunan kepada pertumbuhan, malah, ekonomi global juga bergelut untuk keluar daripada kesan pandemik COVID-19.
"Pada masa sama, harga tenaga yang tinggi akan menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi global, dan menjadikan tekanan inflasi semakin teruk dalam tempoh terdekat," katanya dalam laporan strategi pasarannya, semalam.
Firma itu berkata, krisis Rusia-Ukraine telah mencetuskan pulangan tidak dijangka dana portfolio asing ke rantau ini, tetapi menambah senarai panjang faktor risiko yang boleh mengancam pertumbuhan global.
Namun, tambahnya, krisis yang berlarutan mungkin, walaupun hanya andaian teras, hanya kekal dalam sempadan Ukraine.
"Tetapi, keputusan China untuk menyelaraskan kedudukannya secara strategik dengan Rusia akan menjejaskan lagi ketidakseimbangan geopolitik," tambahnya.
RHB Research berpandangan, kekurangan keazaman politik untuk mencapai pengukuhan fiskal akan meningkatkan risiko pengawalseliaan dan dasar di peringkat domestik.
"Pelaksanaan kenaikan cukai juga sukar dielakkan susulan tindakan bersifat populis menjelang Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pemulihan ekonomi akan terus berlaku, tetapi masih dipengaruhi dengan ketidaktentuan, apatah lagi penilaian pasaran juga tidak menarik, memandangkan kekurangan pertumbuhan pendapatan pada 2022.
Sehubungan itu, menurutnya, potensi turun naik menunjukkan bahawa pelabur domestik tidak akan melihat terlalu jauh ke hadapan, di samping mengekalkan pendirian yang lincah.
"Kami percaya ekonomi pada suku pertama ini akan perlahan dari segi aktiviti ekonomi dengan data pengeluaran perindustrian (IP) pada Februari dan Mac kemungkinan lemah.
"Akibatnya, kadar peningkatan pasaran buruh dijangka berkurangan pada suku pertama 2022 berbanding separuh kedua 2021.
"Selain itu, sentimen pengguna juga akan terjejas dengan isu berkaitan varian Omicron dan konflik di Ukraine," jelasnya.
Namun, ia menaikkan unjuran akhir tahun FBM KLCI kepada 1,670 mata berbanding 1,630 mata sebelum ini.
RHB Research juga kini mengunjurkan harga minyak mentah akan berlegar pada paras AS$115 setong pada suku kedua ini sebelum menyederhana kepada AS$100 setong pada separuh kedua 2022.
Menurut firma itu, Malaysia mempunyai ruang fiskal yang mencukupi untuk meneruskan subsidi bahan api dan subsidi lain pada tahun ini walaupun harga makanan dan minyak global naik.
Ia percaya bahawa dasar fiskal yang proaktif daripada perspektif subsidi makanan dan bahan api akan membantu membendung tekanan inflasi teras.
“Terdapat risiko terhad untuk subsidi bahan api dan makanan bersama dengan formula untuk menetapkan harga RON 95 dan harga diesel di stesen minyak, ia akan diubah dengan ketara pada 2022,” jelasnya.- DagangNews.com








