KUALA LUMPUR 21 Nov - Hanya Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) boleh membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan campuran antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan biro politik tidak mempunyai hak untuk memutuskan mengenai perkara itu.
"Presiden tiada hak, biro politik pun tiada hak.
"Hanya MT BN saja boleh membuat keputusan," katanya kepada media di sini hari ini, Berita Harian melaporkan.
Beliau bersama beberapa kepimpinan BN dilihat sudah tiba di Hotel Seri Pacific, di sini, dipercayai bagi mengadakan pertemuan dengan wakil Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan mengenai pembentukan kerajaan campuran.
Sehingga kini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, sudah tiba di Hotel Seri Pacific bagi tujuan itu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat sudah tiba.
Ditanya mengenai jemputan pertemuan ini, Ismail Sabri berkata, beliau dijemput Setiausaha UMNO Pahang.
"Semua Ahli Parlimen Pahang, dijemput," katanya. - DagangNews.com








