Hanya kontrak besar mampu lonjakkan harga saham Dialog, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hanya kontrak besar mampu lonjakkan harga saham Dialog, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'pegang'

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Dialog Group Bhd. memerlukan projek yang lebih besar bagi mendorong harga saham meningkat lebih tinggi daripada paras semasa, demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Firma itu berkata, walaupun kapasiti tangki baharu dilihat sebagai satu pemangkin yang baik kepada kumpulan, tetapi tidak begitu penting kepada jumlah kapasiti simpanan tangki Dialog sebanyak 5m cbm.

 

Ini mendorong firma itu menurunkan saranan daripada ‘tambah’ kepada ‘pegang’ terhadap Dialog dengan menaikkan harga sasaran pada RM2.74 sesaham.

 

"Risiko kenaikan kepada penarafan bergantung kepada secepat mana kumpulan memperoleh pelanggan baharu dan besar bagi perniagaan terminal tangki dan memperoleh kadar yang lebih tinggi bagi kerja penyelenggaraan loji. 

 

"Sementara itu, tekanan kos dalam rantaian nilai Dialog yang lebih teruk daripada jangkaan akan memberi faktor negatif kepada kumpulan," katanya dalam nota hari ini.

 

Dialog mengekalkan keuntungan bersih sebanyak RM127.5 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM127.88 juta bagi tempoh sama pada tahun kewangan sebelum ini.

 

Perolehan bagi suku yang dikaji meningkat kepada RM797.0 juta berbanding RM544.49 juta sebelum ini, terutamanya disebabkan peningkatan aktiviti kejuruteraan, pembinaan dan penyelenggaraan loji di Malaysia dan operasi antarabangsa.

 

Bagi tempoh separuh tahun, kumpulan mencatat keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM259.2 juta, namun meraih perolehan lebih tinggi sebanyak RM1.5 bilion.

 

Menurut CGS-CIMB, untung bersih Dialog adalah mendatar pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) walaupun pendapatan syarikat itu meningkat.

 

Firma penyelidikan itu menambah, berdasarkan keuntungan suku ke suku kumpulan itu mendatar akibat tekanan kos yang mengimbangi pertumbuhan pendapatan yang berkemungkinan akan mengecewakan pelabur.

 

Keuntungan bersih teras 2QFY23 pula hanya 1% lebih tinggi suku ke suku (QoQ) iaitu sebanyak RM122 juta dan 3% lebih rendah tahun ke tahun (YoY), berpunca daripada pengeluaran minyak Dialog terganggu berikutan kerja penggerudian dan kerja telaga di dua medan minyak, Bayan dan D35, yang terletak di luar pesisir Sarawak, menurut firma itu.

 

“Bagaimanapun, memandangkan kerja itu telah disiapkan pada suku pertama tahun kewangan 2023, kami percaya pengeluaran minyak akan meningkatkan QoQ pada 2QFY23.

 

Selain itu, peningkatan berturut-turut dalam kadar simpanan tangki terminal bebas kepada S$6 setiap meter padu (cbm) sebulan pada akhir September 2022 daripada S$5.50 pada akhir Julai 2022 dan peningkatan dalam kadar penggunaan tangki kepada hampir 90% sepatutnya meningkatkan QoQ pada 2QFY23,” katanya.

 

Tambahnya, metrik operasi kumpulan itu kukuh namun tiada rangsangan kepada keuntungan bersih 2QFY23 yang menunjukkan tekanan kos telah mengimbangi sebarang kesan positif daripada pendapatan syarikat yang lebih kukuh. 

 

Upah yang tinggi terus memberi kesan kepada Dialog akibat kekurangan tenaga kerja untuk penyelenggaraan loji dan peningkatan perbelanjaan operasi untuk medan minyak pada 2QFY23 atas sebab yang dinyatakan, kata CSG-CIMB.

 

Memetik kenyataan kumpulan di Bursa Malaysia semalam, firma itu berkata, syarikat itu akan membina tambahan 24,000 cbm tangki simpanan bagi memudahkan penyimpanan bahan api mampan dan boleh diperbaharui seperti biofuel di terminal Langsat 3 yang dijangka siap menjelang suku keempat 2024.

 

Tangki bahan api boleh diperbaharui itu merupakan yang pertama bagi kumpulan itu, di mana CGS-CIMB menjangka permintaan untuk tangki tersebut akan berkembang pada masa hadapan.

 

Tambahnya, kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) akan dilaksanakan Dialog sendiri dan tiada keuntungan EPCC akan diiktiraf dalam kenyataan untung dan rugi (P&L) yang disatukan memandangkan Langsat 3 dimiliki syarikat itu. -DagangNews.com