Hanya 1 daripada sejuta wang Malaysia adalah palsu | DagangNews Skip to main content

Hanya 1 daripada sejuta wang Malaysia adalah palsu

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Berikutan ciri keselamatan yang tinggi, hanya satu daripada sejuta mata wang negara adalah palsu.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, mata wang negara mempunyai 10 hingga 15 ciri keselamatan dan hal ini mendorong negara mencatatkan kes pemalsuan wang pada kadar yang sangat rendah.

“Pada tahun 2016, nisbah 'pieces per million' (PPM) hanya 1.4. Pada tahun 2019, hanya 1.2 sehingga 2020, kadar pemalsuan 1.0 kepada 1 juta.

"Sudah tentu, mata wang negara mempunyai ciri-ciri keselamatan. Terdapat 10 hingga 15 ciri-ciri keselamatan pada ringgit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Mohd. Shahar
Mohd Shahar Abdullah

 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) ketika sesi soal dan jawab mengenai jumlah nilai wang kertas yang telah dikeluarkan dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) setakat akhir tahun 2019.

Pada 2019, BNM telah mengeluarkan dan mengedarkan sebanyak RM120.7 billion, manakala RM113.2 bilion pula jumlah yang telah didepositkan oleh institusi kewangan bagi tempoh sama. 

Jelas Mohd. Shahar, mata wang dalam edaran mencatatkan jumlah RM114.1 bilion dengan wang kertas bernilai RM110.5 bilion, duit syiling (RM3.5 bilion) dan duit peringatan (RM82.6 juta). 

Bagaimanapun, sejak 2012, kadar peningkatannya semakin perlahan disebabkan penerimaan dan penggunaan e-bayaran yang progresif.

“Peningkatan penggunaan mata wang dalam edaran seiring dengan pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, pertumbuhan mata wang dalam edaran kembali meningkat pada separuh tahun 2019,” tambahnya. 

Tambah beliau, kos untuk mencetak semula wang kertas yang lusuh adalah tinggi dengan anggaran sebanyak RM250 juta hingga RM340 juta setahun. - DagangNews.com