Haily Group raih kontrak pembinaan rumah kluster dua tingkat bernilai RM53.8 juta di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

Haily Group raih kontrak pembinaan rumah kluster dua tingkat bernilai RM53.8 juta di Johor Bahru

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - Haily Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Haily Construction Sdn. Bhd. menerima kontrak bernilai RM53.8 juta daripada Tasek Maju Realty Sdn. Bhd. untuk pembinaan 170 unit rumah kluster dua tingkat di Johor Bahru.

 

Kontrak itu merangkumi kerja-kerja pembinaan sampingan di Fasa 3, Taman Mutiara Maju, Mukim Pulai, Johor Bahru.

 

"Tempoh projek berkenaan adalah selama 15 bulan bermula 17 Ogos 2023 atau berdasarkan arahan dan perlu siap sepenuhnya pada 17 November 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group, See Tin Hai berkata, kontrak itu antara kejayaan besar kumpulan itu dan ia menunjukkan keyakinan yang diberikan  pemaju terhadap keupayaan mereka dalam memberikan perkhidmatan yang luar biasa selain mengekalkan standard mutu kerja yang tinggi.

 

Beliau berkata, Johor akan terus menjadi penerima manfaat projek infrastruktur utama, seperti pautan Sistem Transit Rapid (RTS), yang dijangka siap pada 2026 dan pada tahun ini, pemaju terkemuka telah mengumumkan projek baharu di negeri itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion.
 

"Setakat tahun ini, kami telah memperoleh jumlah kontrak bernilai RM204.48 juta, yang telah melebihi apa yang kami perolehi untuk keseluruhan tahun 2022.

 

haily
See Tin Hai

 

"Ketika kami terus meningkatkan jumlah nilai kontrak kami, kami kekal di landasan untuk mencapai tahun kewangan yang lebih kukuh pada 2023. Kami akan terus berusaha ke arah mendapatkan lebih banyak projek bernilai tinggi," katanya.

 

Kontrak utama yang disandang oleh Kumpulan tahun ini termasuk, antara lain, kontrak RM37.85 juta daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd untuk membina 77 unit pejabat kedai tiga tingkat dalam projek Crest@Austin. 

 

Selain itu mereka meraih kontrak RM78.28 juta untuk pembinaan 262 unit hartanah kediaman di Pontian daripada anak syarikat Gadang Holdings Berhad, Mandy Corporation Sdn Bhd; dan kontrak RM32.66 juta untuk pembinaan 186 unit kediaman di perbandaran Bandar Putra daripada Nice Frontier Sdn Bhd, ahli IOI Properties Group Berhad. - DagangNews.com