Hackathon maya RHB GYHO Edisi ASEAN 2023 tawar hadiah lebih RM44,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hackathon maya RHB GYHO Edisi ASEAN 2023 tawar hadiah lebih RM44,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Inisiatif hackathon maya Get Your Hack On (GYHO) oleh RHB Banking Group (RHB) edisi ASEAN kembali tahun ini dengan menawarkan hadiah lebih daripada AS$10,000 (RM44,315) untuk mencungkil penyelesaian inovatif baharu yang boleh merevolusikan pengalaman perbankan pelanggan di seluruh rantau Asia Tenggara. 

 

RHB yang mempunyai kehadiran kukuh di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Kemboja, Vietnam dan Lao PDR, menyeru bakat teknologi hebat dari seluruh rantau untuk mempamerkan bakat mereka dalam pembangunan teknologi, reka bentuk dan perniagaan dengan bersaing dalam hackathon pengekodan 48 jam ini.

 

Get Your Hack On ASEAN Edition 2023 akan diadakan dari 13 hingga 15 Januari 2023, dengan perlawanan akhir akan berlangsung pada 28 Januari 2023. 

 

Untuk itu juara akan membawa pulang AS$5,000, manakala pasukan tempat ke-2 dan ke-3 masing-masing akan menerima AS$2,500 dan AS$1,000, dengan hadiah saguhati lain dan anugerah khas.

 

Inovator teknologi dinilai berdasarkan kebolehan mereka dalam membangunkan idea unik untuk penyelesaian perbankan yang inovatif, keaslian dan reka bentuk yang baik, serta keupayaan teknikal mereka untuk melaksanakan penyelesaian dicadangkan.

 

Ketua Pegawai Strategi dan Inovasi Kumpulan Perbankan RHB, Ryan Teoh berkata, satu pemacu kejayaan utama dalam inovasi digital RHB ialah kesediaan mereka untuk melabur dengan set kemahiran digital yang betul. 

 

Beliau berkata, sejak hackathon pertama pada 2021, mereka telah menyaksikan peningkatan momentum dalam inovasi digital dan teknologi daripada peserta. 

 

 

rhb

 

 

"Dengan meluaskan jangkauan kami ke seluruh rantau ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai inovator teknologi untuk mempamerkan idea dan penyelesaian baharu dan menarik pada edisi RHB Get Your Hack On ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

RHB GYHO ialah platform mencipta peluang hebat untuk bakat teknologi dan menawarkan peluang perniagaan kepada mereka yang mempunyai keupayaan untuk membangunkan penyelesaian dan prototaip baharu menakjubkan yang boleh merevolusikan pengalaman perbankan. 

 

Platform ini juga menyediakan peluang kerjaya kepada bakat yang berjaya menunjukkan keazaman mereka ke arah idea bertumpu pelanggan baharu, budaya mengutamakan pelanggan yang kukuh, dan fokus jelas.

 

Untuk maklumat lanjut tentang pertandingan itu, sila layari https://jomhack.com/rhbgyhosean/ dan daftar sebelum 9 Januari 2023. - DagangNews.com