GST lebih baik berbanding SST, kata Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

GST lebih baik berbanding SST, kata Bank Dunia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 13 Jun - Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini.

 

Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi berkata, berdasarkan analisis awal, GST menawarkan hampir dua kali ganda pendapatan cukai kerajaan berbanding SST.

 

"Kami melihat GST lebih baik berbanding SST dengan lebih 170 negara di seluruh negara telah melaksanakan regim cukai tambah nilai (VAT) seperti GST.

 

"Ada sebab mengapa GST lebih baik daripada SST. Antaranya, adalah ia cukai ke atas penggunaan kerana 60 peratus ekonomi bergantung kepada penggunaan.

 

"Pelaksanaan cukai lebih meluas akan mengelakkan ketirisan atau pengelakkan cukai yang mana akan meningkatkan hasil kerajaan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Bank Dunia, 'Catching Up: Inclusive Recovery & Growth for Lagging States' hari ini.

 

Turut serta, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.


 

Dr Apurva Sanghi 
                                   Dr Apurva Sanghi 

 


Apurva bagaimanapun berkata, seperti regim percukaian lain, GST juga memiliki kelemahan memandangkan ia hanya cukai ke atas penggunaan dan bersifat regresif yang terpaksa ditanggung lebih besar oleh golongan berpendapatan rendah berbanding golongan kaya.

 

"Banyak negara menggunakan langkah pengecualian cukai untuk menangani (sifat) regresif GST, namun pada pandangan kami ia mungkin selalunya tidak menjadi pilihan terbaik kerana memutuskan rantaian cukai nilai tambah ini.

 

"Justeru, kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bersasar bagi mereka yang terjejas dengan GST, selain meningkatkan kos pematuhan bagi perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

 

Beliau menjelaskan, banyak yang perlu dipelajari daripada pelaksanaan GST pada 2015 termasuk melancarkan proses tuntutan balik supaya lebih cekap.


 

GST

 


"Untuk PKS khususnya perniagaan mikro, mereka memerlukan tempoh peralihan yang cukup atau memberi pengecualian kepada mereka sebagai permulaan.

 

"Sebab inilah, kami percaya dari aspek ekonomi yang tulen, GST lebih baik daripada SST selain isu lain yang dibangkitkan menyaksikan GST meningkatkan kadar inflasi," katanya.

 

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar 6%, sebelum digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan dengan digantikan SST bermula 1 September 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). - DagangNews.com