Greenyield cadang ambil alih 65% kepentingan GRHM bernilai RM87.8 juta | DagangNews Skip to main content

Greenyield cadang ambil alih 65% kepentingan GRHM bernilai RM87.8 juta

KUALA LUMPUR 21 Mac - Greenyield Bhd. bercadang mengambil alih 65% kepentingan ekuiti dalam Greenyield Rubber Holdings (M) Ltd (GRHM) pada harga RM87.8 juta dalam urus niaga pihak yang berkaitan.

 

Langkah itu 'tertakluk kepada pelarasan seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Jual Saham', menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Vendor-vendor berkaitan adalah Greenyield Holdings Sdn Bhd, Premium Commodities Sdn Bhd, Tham Foo Keong, Tham Foo Choon, Tham Kin-On dan Foong Sai Cheong.

 

"Cadangan pengambilalihan ini akan dilunaskan melalui RM3 juta tunai, pengeluaran sehingga 226.05 juta saham di Greenyield Bhd. pada 29 sen sesaham berjumlah sehingga RM65.55 juta, yang mana sehingga 18 juta saham akan dikeluarkan pada tarikh yang akan ditentukan kemudian bernilai RM3 juta.

 

"Ia juga akan menerbitkan sehingga 66.40 juta saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus baharu (ICPS) di Greenyield Bhd pada 29 sen setiap ICPS berjumlah RM19.26 juta, yang mana sehingga 19.14 juta ICPS akan dikeluarkan pada masa akan datang," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Kumpulan Greenyield mendapat kelulusan pemegang saham pada 2019 bagi mempelbagaikan aktiviti utamanya merangkumi ladang getah, yang dijangka menyediakan sumber pendapatan stabil berikutan pengambilalihan 2 syarikat di Kelantan.

 

Kedua-dua syarikat itu pada dasarnya terbabit dalam penanaman getah dan pengurusan ladang selain mempunyai kira-kira 800 hektar ladang, usaha ini akan meningkatkan simpanan perladangan kumpulan daripada 400 hektar kepada 1,200 hektar.

 

Pendapatan yang dijana daripada perniagaan perladangan getah berjumlah kira-kira RM1.4 juta dan dijangka menokok.

 

Menurut Greenyield, cadangan pengambilalihan baharu ini adalah baik untuk strategi jangka panjang kumpulan dalam memperluaskan perniagaan perladangannya dan juga mewakili peluang bagi meningkatkan sumber pendapatan berulang.

 

Sehingga 17 Disember 2021, GRHM dan anak-anak syarikatnya mempunyai 15,313 hektar hartanah perladangan yang terletak di Papua New Guinea.

 

Setelah selesai pengambilalihan yang dicadangkan, kawasan agregat yang boleh ditanam yang dikawal oleh Greenield Group dijangka bertambah daripada 1,200 hektar kepada 16,399 hektar. - DagangNews.com