GoCar, EV Connection jalin kerjasama tingkatkan jaringan stesen pengecasan kenderaan elektrik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GoCar, EV Connection jalin kerjasama tingkatkan jaringan stesen pengecasan kenderaan elektrik

Wong Hoe Mun (kiri) dan Dr Che Hang Seng
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Peneraju platform mobiliti, GoCar Malaysia dan penyedia perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) bersepadu, EV Connection menjalin kerjasama untuk mengembangkan akses terhadap stesen pengecas EV di negara ini.

 

Kerjasama itu membolehkan aplikasi mudah alih GoCar dan platform JomCharge milik EV Connection diintegrasikan, sekali gus meningkatkan akses ke atas lebih banyak stesen pengecasan EV serta pengecas pantas DC buat pengguna GoCar dan orang awam. 

 

Selepas integrasi fasa pertama yang dijangka dapat disempurnakan menjelang suku ketiga tahun 2022, pengguna GoCar dan orang ramai boleh melihat lokasi-lokasi pengecasan, kebolehdapatan pengecas dan jenis pengecas yang ada dalam rangkaian EV Connection menerusi aplikasi GoCar.

 

Perancangan masa depan termasuklah meningkatkan perkhidmatan seperti keupayaan pra-tempahan pengecas EV, menyusun semula waktu pengecasan, membuat pembayaran dan mengetahui perkembangan terkini pengecasan kenderaan melalui aplikasi GoCar.  

 

EV Connection kini mempunyai salah satu jaringan pengecas DC terbesar di Malaysia yang terletak sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan. 

 

Syarikat mensasarkan untuk mengembangkannya kepada 100 stesen pengecasan menjelang akhir tahun 2022. Pengecasan DC ini merupakan pengecas universal dan boleh digunakan oleh semua jenama serta model EV. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, kerjasama strategik dengan EV Connection selari dengan komitmen GoCar untuk membawakan pengalaman EV di Malaysia melalui GoEV. 

 

"Menerusi integrasi ini, kami percaya pengguna akan boleh merancang perjalanan dengan lebih baik dan mempunyai kemas kini pada masa sebenar mengenai lokasi pengecas EV ketika memandu. Semua ini pasti dapat mengurangkan kebimbangan, meningkatkan keselesaan dan kemudahan buat pelanggan GoCar dan pengguna EV yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Teknikal EV Connection, Dr Che Hang Seng pula berkata, kolaborasi itu selaras dengan misi JomCharge untuk menyokong transisi mobiliti elektrik di rantau ini. 

 

"Bersama-sama dengan GoCar, kami harap dapat melegakan kebimbangan dan merapatkan jurang peralihan kepada EV oleh orang ramai,” katanya.

 

Bukan sekadar platform perkongsian kereta sahaja dan mampu menawarkan pelbagai penyelesaian mobiliti, GoCar kini memberi fokus untuk mengembangkan akses ke atas EV melalui perkongsian, langganan dan pengecasan kereta elektrik. 

 

Sejak pelancaran GoEV pada Disember 2021, lebih 1,000 pengguna EV telah mencatat perjalanan lebih 500,000 kilometer. Bagi lebih 90% pengguna, ia merupakan kali pertama mereka merasai pengalaman memandu sebuah EV. - DagangNews.com