Glomac tidak akan melancarkan projek baharu pada FY25, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Glomac tidak akan melancarkan projek baharu pada FY25, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - AmInvestment Bank Research tidak menjangkakan sebarang pelancaran projek baharu daripada Glomac Bhd pada FY25 ekoran keadaan pasaran yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Katanya, fokus utama kumpulan itu adalah kepada projek Loop City Residence yang dirancang untuk pelancaran pada FY24 sebelum ditangguhkan kepada FY25 akibat saingan sengit bagi jualan hartanah di Puchong.

 

Selain itu, kumpulan itu juga akan memberi tumpuan kepada fasa baharu di dalam kawasan Lakeside Residences dan Saujana KLIA.

 

"Permintaan mungkin meningkat untuk Loop City Residence yang berpotensi mempercepatkan pelancaran dalam fasa perbandaran berikutnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada akhir Januari 2024, kadar tempahan projek itu hanya 150 unit berbanding perancangan 980 unit sekali gus membawa kepada penagguhan pelancaran rasmi akibat permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Pemaju hartanah akan menjadi lebih yakin untuk memulakan pembinaan projek bertingkat apabila kadar tempahan mencapai lebih 50%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyasarkan pelancaran fasa 1 Loop City Residence menjelang 1QFY25 dengan kadar tempahan mencecah 60% pada 3QFY24 melalui kempen pemasaran yang berterusan.

 

Katanya, walaupun mencatatkan jualan mengecewakan pada 9MFY24 iaitu RM142 juta atau 36% daripada sasaran jualan FY24 kumpulan sebanyak RM393 juta, Glomac optimis untuk melepasi jualan FY23 sebanyak RM302 juta.

 

"Glomac sedang berusaha mencari tanah yang berpotensi untuk diambil alih di Lembah Klang bagi melaksanakan pembangunan perbandaran baharu.
 

"Pada masa ini, Glomac mempunyai lapan projek yang sedang berjalan dengan jumlah jualan belum dibilkan sebanyak RM347 juta, mewakili 1x hasil FY25," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' pada harga wajar (FV) 42 sen sesaham. - DagangNews.com