Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt - Genting Malaysia Bhd dijangka terus merekodkan kerugian bersih hampir sama seperti yang direkodkan pada suku kedua 2021 iaitu pada RM353.4 juta bagi suku keempatnya tahun ini.
Maybank Investment Bank Research berkata, ia susulan penutupan selama hampir satu suku ketiga pada tahun ini.
Namun katanya, kumpulan dijangka mampu mencapai tahap impak pada suku akhir tahun ini selepas mengalami kerugian selama enam suku berturut-turut.
"Pembukaan semula Resort World Genting Bhd pada 30 September lalu, sebulan lebih awal dari jangkaan dapat mendorong pemulihan pendapatan Genting Malaysia.
""Kami secara konservatif menjangkakan 3.0 juta pengunjung akan datang ke pusat peranginan tersebut suku keempat tahun ini.
"Ketika Resort World Genting pertama kali dibuka pasca-COVID-19 pada 3Q20, ia menyambut 4.0 juta pengunjung," kata Maybank IB dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Buat masa ini, hanya penduduk Pahang yang dibenarkan mengunjungi Resorts World Genting tetapi penduduk dari negeri lain dijangka boleh mengunjungi apabila 90% populasi dewasa Malaysia diberi vaksin sepenuhnya.
Melangkah ke depan, Maybank IB berkata, pembukaan taman tema Genting SkyWorlds yang tertangguh di Resorts World Genting boleh menjadi pemangkin seterusnya untuk Genting Malaysia.
"Kami menjangkakan taman tema akan dibuka pada bulan Disember 2021 bertepatan dengan musim cuti sekolah.
"Ini diharapkan dapat meningkatkan pemulihan kedatangan pengunjung Resorts World Genting ke tahap pra-Covid-19 pada tahun kewangan 2022," katanya.
Firma penganalisis itu menjangkakan untung bersih bagi tahun kewangan 2022/2023 berdasarkan ketibaan pelawat masing-masing pada kadar 24.2 juta dan 26.2 juta. -DagangNews.com








