Gentari, Sembcorp bekerjasama memacu rumusan tenaga bersih di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gentari, Sembcorp bekerjasama memacu rumusan tenaga bersih di Asia Tenggara

(Dari kiri) Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp, Wong Kim Yin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik; Ketua Pegawai Tenaga Boleh Diperbaharui Gentari, Low Kian Min; Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp bagi Singapura dan Asia Tenggara, Koh Chiap Khiong dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Penyedia rumusan tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd dan Sembcorp Industries (Sembcorp) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama meneroka potensi kerjasama dan aktiviti perniagaan berkaitan dalam bidang rumusan tenaga bersih.

 

Sembcorp merupakan penyedia rumusan tenaga dan bandar berpangkalan di Singapura tersenarai di papan utama Bursa Singapura .

 

Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, kedua-dua syarikat akan meneroka potensi perdagangan tenaga boleh diperbaharui dari Asia Tenggara atau lokasi lain yang dipersetujui bersama, dengan matlamat untuk mempercepatkan penggunaan sumber tenaga bersih.

 

Di samping itu, Gentari dan Sembcorp akan meneroka hidrogen rendah karbon, di mana mereka akan mencari peluang membekal, termasuk pembangunan kemudahan pengeluaran hidrogen.

 

Mereka juga akan menjalankan kajian bersama mengenai pengangkutan hidrogen dari Malaysia ke Singapura bagi memanfaatkan kepakaran bersama kedua-dua pihak dan sumber mereka untuk memacu inovasi dan mencipta penyelesaian yang mampan dalam sektor hidrogen.

 

Ketua Pegawai Tenanga Boleh Diperbaharui Gentari, Low Kian Min berkata melalui perkongsian strategik dengan Sembcorp, Gentari menyasarkan untuk mempercepatkan lagi pengembangan tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif berkaitan hidrogen.

 

“MoU ini menandakan visi dan komitmen bersama kedua-dua organisasi kami untuk memacu peralihan tenaga di Asia Tenggara, menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan rendah karbon untuk rantau ini,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sembcorp bagi Singapura dan Asia Tenggara , Koh Chiap Khiong menambah bahawa kerjasama tersebut meletakkan potensi kukuh sektor boleh diperbaharui Malaysia yang berkembang pesat.

 

“Sebagai pemain boleh diperbaharui terkemuka di rantau ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi yang sealiran seperti Gentari untuk memajukan inisiatif yang akan mempercepatkan peralihan kepada tenaga mampan,” katanya. - DagangNews.com