Genetec catat untung bersih RM74.7 juta bagi FY23 didorong sumbangan dalam segmen EV, simpanan tenaga | DagangNews Skip to main content

Genetec catat untung bersih RM74.7 juta bagi FY23 didorong sumbangan dalam segmen EV, simpanan tenaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - Genetec Technology Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 28.6% kepada RM74.7 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) berbanding RM58.1 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 37.5% kepada RM307.4 juta berbanding RM223.6 juta didorong segmen kenderaan elektrik (EV) dan penyimpanan tenaga.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23), kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM17.9 juta atau peningkatan sebanyak 27.9% berbanding RM14 juta tahun sebelumnya disokong pengurusan kos yang berdisiplin. 

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM78.4 juta atau peningkatan sebanyak 33.6% pada suku itu berbanding RM58.7 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Chin Kem Weng berkata, FY23 merupakan tahun yang mencabar untuk perniagaan akibat cabaran makroekonomi seperti rantaian bekalan dan ketidakstabilan dalam persekitaran faedah.

 

Beliau berkata, pihaknya bekerja keras untuk mengekalkan pesanan yang stabil dengan mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin.

 

"Kami memiliki keupayaan untuk berbuat demikian adalah disebabkan oleh pengurusan projek dan bahan yang ketat sambil tetap fokus pada kualiti dan ketepatan masa penghantaran.

 

"Pembangunan dan inovasi produk juga penting untuk membolehkan kami memanfaatkan tema yang semakin meningkat dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) dan ruang EV, seperti pengenalan MYBESS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mengulas mengenai masa hadapan, kumpulan itu bersedia untuk mengekalkan prestasi kukuh bagi mencapai matlamatnya dalam operasi dan permintaan pelanggan pada tahun kewangan akan datang.

 

Syarikat berada dalam kedudukan unik untuk mendapatkan peluang dalam membangunkan sistem tenaga mampan berdasarkan sumber boleh diperbaharui yang boleh menyokong pemulihan dan pembangunan sambil menangani strategi mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim, dan mencapai matlamat keselamatan tenaga, akses sejagat dan kemampuan.

 

Pelancaran MYBESS adalah bukti komitmen Genetec untuk menjadi penyelesaian yang mampan dan sesuai untuk menyokong keperluan perniagaan dan negara. - DagangNews.com