GDEX guna motosikal elektrik bagi mengurangkan pelepasan asap | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GDEX guna motosikal elektrik bagi mengurangkan pelepasan asap

KUALA LUMPUR 17 Nov - GD Express Carrier Bhd (GDEX) telah memperkenalkan motosikal elektrik pertama sebagai sebahagian daripada inisiatif  Go Green syarikat itu.

 

Penggunaan kenderaan elektrik (EV) adalah sejajar dengan matlamat negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45% menjelang 2030 seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke12 (RMK-12).

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Teong Teck Lean berkata, logistik dan penggiat dalam perkhidmatan penghantaran memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida dengan meneroka dan mengguna pakai lebih banyak penyelesaian hijau dalam operasi harian.

 

“Motosikal elektrik menandakan permulaan inisiatif hijau yang dimulakan oleh GDEX dan kami berharap untuk meneruskan kajian dan melaksanakan lebih banyak langkah lestari pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Teong berkata, kumpulan itu berterima kasih atas inisiatif kerajaan dalam Bajet 2022 untuk menyokong penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia, ia sudah pasti dapat menyokong perjalanan amalan lestari syarikat tersebut.

 

Selain itu, kumpulan itu berkata ia akan meneroka penggunaan basikal elektrik dan basikal roda tiga selepas ini yang akan memenuhi segmen lokasi yang berbeza seperti kawasan kejiranan. - DagangNews.com