Gamuda dalam kedudukan untung raih projek mega lain - MIDF  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda dalam kedudukan untung raih projek mega lain - MIDF 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Gamuda Berhad dijangka menjadi salah satu penerima manfaat yang lebih besar dalam projek-projek infrastruktur mega di negara ini kerana rekod prestasinya yang memberangsangkan. 

 

Ini termasuk peluang untuk meraih pembangunan projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) dan Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Johor Bahru, menurut ramalan MIDF Research.

 

“Ditambah dengan fokusnya bagi pengembangan perniagaan di luar negara, kami kekal positif terhadap prospek pengisian pekerjaan kumpulan untuk terus didorong pasaran pembinaan Australia yang sedang berkembang.

 

“Memandangkan terdapat jangkaan sektor pembinaan yang luas dan prospek penambahan buku pesanan yang lebih cerah memasuki tahun kewangan 2021 (FY21) , kami meramalkan nisbah harga kepada perolehan (PER) tertinggi dalam tempoh dua tahun kepada kumpulan buat masa ini,” jelas MIDF dalam nota kajiannya.

 

Semalam, Gamuda mengesahkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju untuk anak syarikatnya, SRS Consortium Sdn. Bhd. membangunkan sistem pengangkutan bersepadu atau Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) di Pulau A selepas beberapa siri rundingan.

 

Keputusan itu bakal menyaksikan pesanan buku Gamuda berkembang kepada RM10.5 bilion, peningkatan dua kali ganda berbanding RM5.5 bilion sebelum ini.

 

Pada masa akan datang, kontrak-kontrak di bawah komponen PTMP mungkin menyusul, yang akan diraih oleh Gamuda seperti Pan Island Link, aliran transit ringan (LRT) di Bayan Lepas dan jalan raya dengan dua atau tiga laluan kenderaan.

 

Ini juga akan mendatangkan kesan limpahan ke atas pembangunan hartanahnya sekiranya Gamuda Land berjaya mendapat jualan tanah tebus guna pada masa akan datang, ramal MIDF.

 

MIDF menyarankan untuk ‘beli’ saham Gamuda dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada kadar RM4.20 sesaham.

 

Setakat 12.12 tengah hari, nilai saham Gamuda menyusut 14 sen kepada RM3.56. - DagangNews.com