Gading Marine siapkan empat bot FIC TLDM, aset ditempatkan di Sabah untuk pengawasan maritim | DagangNews Skip to main content

Gading Marine siapkan empat bot FIC TLDM, aset ditempatkan di Sabah untuk pengawasan maritim

Empat bot FIC yang diterima TLDM daripada Gading Marine.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Jan - Empat bot pemintas laju (FIC) buatan tempatan jenis FIC G2000 MkII berjaya disiapkan Gading Marine (M) Sdn. Bhd. (Gading Marine) apabila diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Aset-aset tersebut diserahkan pihak Gading Marine kepada Markas Armada TLDM Wilayah Timur di Kota Kinabalu, Sabah.

 

Difahamkan, majlis penerimaan secara rasmi pula bakal diadakan pada Februari yang menyaksikan bot-bot FIC G2000 MkII ini dioperasikan di perairan Sabah.

 

Ia berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutama kepada kapal TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau.

 

FIC
Sistem turet RCWS dengan mesingan CANiK M2 QCB.

 

Sabah misalnya mempunyai banyak pulau menjadikan penugasan bot-bot FIC sangat relevan.

 

Ini merupakan kumpulan pertama daripada kesemuanya 13 buah bot FIC yang dibeli Kementerian Pertahanan dua tahun lalu.

 

Baki sembilan buah lagi bot FIC dijangka akan diserahkan pada pertengahan tahun ini.

 

FIC G2000 MkII merupakan versi ketiga daripada bot Siri G2000 yang dibina oleh syarikat tersebut.

 

Kejayaan Gading Marine menyiapkan bot-bot ini menunjukkan syarikat tempatan masih mempunyai kemampuan sebagai penyedia aset pertahanan negara.

 

FIC
Kru TLDM diberi penerangan tentang mesingan CANiK M2 QCB.

 

Walaupun bukan membina kapal perang tetapi Gading Marine menepis stigma tentang tanggapan sesetengah pihak pada industri tempatan.

 

Ini merupakan pembelian tambahan kepada enam buah FIC G2000 Mk1 yang diterima TLDM pada April 2021 daripada Gading Marine bernilai RM80 juta.

 

Bermakna apabila diterima sepenuhnya, TLDM mengoperasikan sebanyak 19 buah bot FIC G2000.

 

Versi G2000 MKII mempunyai spesifikasi lebih tinggi melalui sistem pendorong yang lebih berkuasa.

 

Apa yang menarik pada varian ini ialah dilengkapi dengan sistem senjata kawalan jauh (RCWS) menggunakan mesingan berat (HMG) CANiK M2 QCB buatan Turkiye selain dua laras mesingan 7.62mm pada sisi bot.

 

FIC
Enam bot FIC yang diterima TLDM pada tahun 2021.

 

FIC

 

Pemasangan HMG ini menjadikan bot FIC lebih berbisa semasa melakukan rondaan atau misi kerana boleh melepaskan tembakan secara kawalan automatik.

 

Ini mengurangkan risiko kru terdedah kepada tembakan balas musuh selain kawalan sistem RCWS mempunyai ketepatan lebih tinggi.

 

Penggunaan HMG dan sistem RCWS buatan Turkiye ini juga adalah yang pertama bagi TLDM yang mana kontrak perolehan tersebut dimeterai pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur pada 2022.

 

Mesingan CANiK M2 QCB turut digunakan Tentera Darat yang dipasang pada kenderaan pacuan empat roda.

 

Turut ditambah baik ialah susun atur dalaman FIC bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru

 

FIC yang panjang 18 meter memiliki dua jentera 1,550 kuasa kuda dengan sistem dorongan jet dikendalikan lima kru dengan kelajuan sehingga 50 knot.

 

Sebelum ini TLDM mempunyai perancangan untuk menggantikan 17 buah bot CB90 buatan syarikat Dockstavarvet, Sweden yang digunakan sejak 20 tahun lalu dengan bot seperti FIC.

 

Bagaimana pun, melihat pada keadaan semasa selain faktor kekurangan aset maka kemungkinan khidmat bot CB90 diteruskan. - DagangNews.com