FY20 Sunway REIT susut 19% kepada RM228.4j | DagangNews Skip to main content

FY20 Sunway REIT susut 19% kepada RM228.4j

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Keuntungan bersih Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) pada suku keempat 2020 berakhir 30 Jun lalu merosot 67% kepada RM21.9 juta daripada RM67.2 juta.

Penurunan itu sekali gus menyebabkan tahun kewangan 2020 (FY20) kumpulan itu yang berakhir 30 Jun lalu mencatatkan RM228.4 juta, merosot sebanyak 19% berbanding tempoh sama tahun lalu, RM282.3 juta.

Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) berkata, kemerosotan itu adalah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana bantuan sewa diberikan kepada penyewa pusat beli-belah selain hilang sumber pendapatan lain. 

“Sebahagian besar operasi hotel terpaksa ditutup dan Sunway REIT turut menawarkan potongan sewa hotel.

“Bagaimanapun, impak itu serba sedikit dapat dikurangkan dengan aset baharu Sunway REIT iaitu Universiti dan Kampus Kolej Sunway serta peningkatan perolehan dalam segmen pejabat,” jelas Maybank IB. 

Dalam pada itu, Sunway REIT turut menyaksikan tiga pembaharuan perjanjian sewa utama, bertempoh 10 tahun pada Julai lalu melibatkan Hotel Sunway Resort, Hotel Sunway Pyramid dan Hotel Sunway Seberang Jaya.

“Bagaimanapun, Maybank IB mendapati kesemua pembaharuan perjanjian itu tidak mendatangkan komponen keuntungan (guaranteed rent), sebaliknya menawarkan kadar pembahagian yang lebih tinggi bagi keuntungan kasar hotel berkenaan.

“Selain itu, kami difahamkan Hotel Sunway Resort merancang untuk melakukan kerja pengubahsuaian menjelang tahun hadapan,” tambah Maybank IB.

Kerja pengubahsuaian berkenaan dijangka mengambil masa 12 sehingga 18 bulan dan dijalankan secara berperingkat.

Mengambil kira faktor-faktor berkenaan, Maybank IB menjangkakan perolehan tahun kewangan 2021/2022 Hotel Sunway Resort dianggarkan turun kepada 4% bagi setiap tahun. - DagangNews.com