Forest City tarik minat produksi luar negara termasuk Netflix | DagangNews Skip to main content

Forest City tarik minat produksi luar negara termasuk Netflix

Taman tema air Forest City antara tarikan popular pelancong
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Selain menjadi tumpuan pelancong, Forest City turut menjadi pilihan beberapa produksi dari dalam dan luar negara termasuk penggambaran filem, drama, program dan iklan.

 

Antara produksi yang menjadikan hartanah serba mewah dan elit di Gelang Patah, Johor itu sebagai lokasi penggambaran mereka adalah Prosieben TV dari Jerman (Futuristic Cites All Over The World), KBSTV dari Korea Selatan (Battle Trip Programme), penggambaran Honda Malaysia untuk pelancaran kereta, dokumentari Sci-fi dari Austria (Hungry: Tipping The Scales) dan beberapa produksi filem tempatan.

 

Country Garden Pacificview dalam satu kenyataan media hari ini berkata krew produksi program realiti TV Netflix, The Mole, telah selesai menjalani penggambaran di Forest City untuk siri kedua program itu baru-baru ini, selepas mengambil masa kira-kira lima bulan untuk proses penyelarasan dan lapan hari bagi penggambaran yang melibatkan aksi melampau.

 

 

The mole

 

 

Di samping itu, Forest City telah menyaksikan peningkatan pengunjung tempatan dan antarabangsa susulan pembukaan sempadan negara selepas pandek COVID-19.

 

Dengan menumpukan perhatian terhadap sektor pelancongan, Country Garden Pacificview berkata tarikannya adalah taman tema air Forest City yang sering menerima pengunjung terutama pelancong tempatan pada hujung minggu.

 

Commercial Street dan Marina Beach di Forest City juga sering menjadi pilihan penganjur bukan sahaja untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti pasar lambak atau car boot sale, malah beberapa lokasi menjadi pilihan pengguna media sosial untuk bergambar.

 

Taman tema air dan padang golf antarabangsa juga merupakan antara pilihan popular untuk pengunjung ke Forest City. Dianggarkan sekitar 100,000 pengunjung mengunjungi Forest City bulan lalu untuk melakukan pelbagai aktiviti.

 

 

water park
Jumlah pengunjung lebih tinggi pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.

 

 

Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura, Fang Fang berkata berikutan peningkatan jumlah pelancong, Forest City akan terus menambah baik kemudahan sedia ada untuk membina kemudahan sokongan, sekali gus menjadikan tempat itu sebagai destinasi pelancongan yang popular dengan keunikannya.

 

Selain itu, tambahnya, pelancongan hartanah masih merupakan salah satu strategi pemasaran yang penting untuk Forest City dan usaha itu akan terus dipergiatkan.

 

“Forest City akan bekerjasama dengan pemain industri pelancongan untuk menyediakan pakej pelancongan hartanah, di mana pada waktu kemuncak sebelum penularan COVID-19, Forest City menerima lebih 10 bas sehari daripada kumpulan pelancong dan pusat jualan juga sentiasa penuh dengan orang ramai," dia berkata. -DagangNews.com