KUALA LUMPUR 30 Mac - Bagi menzahirkan penghargaan kepada ramai penunggang dan pejalan kaki penghantaran yang sentiasa bekerja keras untuk menghantar makanan dan barangan runcit, foodpanda melancarkan kempen ‘double tips, double love’ pada bulan ini.
foodpanda dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan memadankan setiap ringgit tip yang diberikan oleh pelanggan kepada penunggang penghantaran melalui aplikasinya, memberi peluang kepada mereka untuk menggandakan jumlah tip yang diterima.
Katanya, begitu juga dengan semua tip yang diberikan oleh pelanggan kepada rakan penghantaran menerusi aplikasi foodpanda, 100% tip yang diperolehi oleh mereka semasa kempen ini akan dikreditkan sepenuhnya ke dalam akaun penunggang penghantaran tanpa sebarang caj tambahan.
"Inisiatif ‘double tips, double love’ ini akan berlangsung pada setiap Jumaat dalam April di Malaysia dan ia juga akan diperkenalkan di lima pasaran lain di seluruh Asia termasuk Singapura, Pakistan, Bangladesh, Kemboja, dalam format berbeza dan mengikut fasa.
"Kempen ini dijangka akan memberikan manfaat kepada lebih 124,000 penunggang penghantaran di Asia," katanya.
Pengarah Operasi foodpanda Malaysia, Kelvin Chan berkata, rakan penghantaran adalah teras kepada perniagaan dan pihaknya mahu melakukan sedaya upaya untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa dijaga.
Jelasnya, kempen tersebut hanyalah salah satu daripada pelbagai cara yang dilakukan oleh foodpanda untuk membantu penunggang penghantaran dan memberikan mereka pengiktirafan serta penghargaan yang patut mereka terima.


"Semoga dengan inisiatif ini penunggang penghantaran boleh menggandakan tip mereka dan memberi motivasi kepada mereka untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan foodpanda.
“Saya juga berharap pelanggan kami juga akan lebih bermurah hati dalam semangat Ramadan dan yakin bahawa 100% tip akan disalurkan terus kepada rakan penghantaran kami," katanya.
Pertama kali diperkenalkan pada 2021 ketika pandemik sedang memuncak, ciri pemberian tip itu memudahkan pelanggan untuk berterima kasih dan memberi penghargaan kepada penunggang penghantaran dengan cara yang mudah dan selamat.

Menerusi fungsi ini, pelanggan boleh memasukkan jumlah tip mereka dengan mudah sebelum membuat pembayaran untuk pesanan dalam talian mereka.
Sejak ia dilancarkan, ciri tersebut mendapat maklum balas positif daripada kedua-dua pihak pelanggan dan penunggang penghantaran dengan Malaysia menjadi antara pelanggan yang paling bermurah hati di rantau ini. - DagangNews.com








