KUALA LUMPUR 15 Ogos - FGV Holdings Berhad menjalinkan kerjasama dengan Aeon BiG (M) Sdn Bhd bagi memasarkan ayam kampung ternakan peneroka Felda di bawah jenama Ladang’57.
Dalam satu kenyataan media hari ini, FGV berkata ayam kampung tersebut akan dipasarkan di 21 pasar raya besar Aeon BiG di seluruh Semenanjung Malaysia.
FGV berkata ia telah mengambil langkah proaktif dalam menerajui pertanian kontrak dengan Program Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Felda.
Program PPP ini merupakan kerjasama strategik antara FGV dan Felda, bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup peneroka Felda, memupuk pembangunan ekonomi luar bandar, dan menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan makanan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata bagi fasa pengenalan ini, kumpulan itu menyasarkan untuk mengagihkan ayam kampung berkenaan sebanyak 4,000 ekor sebulan kepada Aeon BiG.
“Kolaborasi bersama Aeon BiG bukan sahaja akan membantu FGV dalam memenuhi komitmen terhadap agenda keterjaminan makanan negara, tetapi juga memainkan peranan penting dalam kejayaannya yang memberangsangkan,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata kerjasama tersebut membuka peluang, khususnya kepada petani tempatan untuk merancakkan lagi ekonomi negara.
“Program ini juga memberi peluang kepada Aeon BiG untuk menawarkan bekalan ayam kampung segar sebagai alternatif kepada ayam biasa dan ia juga sejajar dengan matlamat kami untuk terus membantu penternak tempatan memasarkan produk mereka.
“Melalui rangkaian perniagaan ini, kami dapat memastikan barangan keperluan seperti ayam akan terus dibekalkan kepada pengguna,” tambahnya.
Sempena pelancaran ayam kampung Ladang’57, pelanggan boleh menikmati tawaran harga istimewa RM9.90 sekilogram sehingga 31 Ogos ini. - DagangNews.com








