FGV bayar balik RM72.2 juta yuran pengambilan kepada 19,673 pekerja asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FGV bayar balik RM72.2 juta yuran pengambilan kepada 19,673 pekerja asing

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Jan - FGV Holdings Berhad (FGV) telah membayar balik yuran pengambilan berjumlah RM72.2 juta kepada 19,673 pekerja asing yang dilakukan dalam tiga peringkat pada Mac, Jun dan September 2023.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan perladangan itu berkata ia merupakan perkembangan baik dalam usahanya untuk menangani penggantungan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

 

FGV berkata ia memperuntukkan sejumlah RM112 juta untuk membayar balik yuran pengambilan pekerja asingnya, termasuk bekas pekerja asing, selaras dengan komitmennya terhadap piawaian pengambilan yang beretika dan bertanggungjawab serta prinsip ‘tiada bayaran pengambilan’ pekerja.

 

“FGV memberi keutamaan dalam pelaksanaan pelan pemulihan bagi mendukung hak buruh dan menangani sebarang jurang dalam amalan buruhnya.

 

“Komponen utama program pemulihan FGV adalah pembayaran balik yuran pengambilan yang dikenakan ke atas pekerja migrannya oleh agensi pekerjaan pihak ketiga,” katanya.

 

FGV berkata, ia juga sedang melaksanakan program pembayaran balik kepada bekas pekerja asingnya yang layak menerima pampasan yuran pengambilan pekerjaan.

 

Dengan sokongan syarikat perunding antarabangsa, LRQA (dahulunya dikenali sebagai ELEVATE), FGV berkata ia menghubungi bekas pekerja asingnya untuk memaklumkan mereka tentang program pembayaran balik yang dihebahkan secara berkala di akaun media sosial FGV serta di akhbar tempatan di negara asal pekerja.

 

“Program pembayaran balik bekas pekerja asing akan dijalankan sehingga penghujung 2024. Sehingga kini, FGV telah membayar balik 415 orang bekas pekerja asing berjumlah RM1.77 juta,” tambahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata kumpulan itu komited sepenuhnya kepada prinsip ‘tiada bayaran pengambilan pekerja’.

 

 

Datuk Nazrul Mansor
Datuk Nazrul Mansor

 

 

“Kami telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan prosedur pengambilan pekerja kami sejajar dengan piawaian pengambilan beretika,” katanya.

 

Menurut beliau, FGV juga telah memperkukuh prosedur pengambilan pekerja asing dengan melaksanakan langkah tambahan termasuk melibatkan LRQA untuk menjalankan tinjauan dalam kalangan pekerja baharu bagi memastikan sama ada mereka telah membayar sebarang yuran pengambilan. - DagangNews.com