FGP Ventures didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana tawar iRPS secara tidak sah | DagangNews Skip to main content

FGP Ventures didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana tawar iRPS secara tidak sah

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 1 April - FGP Ventures Sdn Bhd, sebuah syarikat persendirian, didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana tawaran salah Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam (iRPS).

 

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata sabitan itu dibuat mengikut Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 berkaitan peruntukan saham keutamaan iRPS tanpa mempunyai perlembagaan syarikat.

 

Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana syarikat persendirian untuk membuat peruntukan saham keutamaan tanpa mempunyai perlembagaan syarikat, dan apabila sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM500,000 boleh dikenakan di bawah subseksyen (5) Akta yang sama.

 

Pada 28 Nov 2023, FGP Ventures Sdn Bhd dan pengarahnya, Khemlani Satesh, didakwa atas empat kesalahan mengikut Seksyen 43(1) dan Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 berhubung tawaran saham iRPS kepada orang ramai.

 

 

Khemlani Satesh
  Khemlani Satesh

 

 

“FGP Ventures dan Khemlani menawarkan saham kepada orang ramai dengan mendepositkan wang dengan syarikat untuk tempoh tertentu dengan faedah terjamin mengikut terma yang dipersetujui.

 

“Pihak-pihak juga membuat peruntukan saham keutamaan tanpa peruntukan dalam perlembagaan syarikat ketika itu,” kata SSM.

 

Ia berkata syarikat itu dan pengarahnya didenda sejumlah RM325,000 bagi kesalahan itu, dan seterusnya kedua-dua defendan telah dilepaskan tanpa dibebaskan bagi pertuduhan itu.

 

SSM memberi peringatan kepada orang ramai bahawa syarikat swasta dilarang menawarkan saham syarikat kepada orang ramai dan membuat peruntukan saham tersebut tanpa peruntukan dalam perlembagaan syarikat.

 

"SSM mengambil tindakan penguatkuasaan ini sebagai satu bentuk peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam mengenai pelanggaran undang-undang yang dikawal selia oleh suruhanjaya ini.

 

"Ini bagi memastikan tadbir urus korporat yang baik dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia," kata SSM pada Ahad. - DagangNews.com