FBM KLCI meningkat 10% 1H24, jadi pasaran ekuiti kedua terbaik di ASEAN - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBM KLCI meningkat 10% 1H24, jadi pasaran ekuiti kedua terbaik di ASEAN - Maybank IB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Julai - Selepas tiga tahun berturut-turut dari 2021-2023 dengan pulangan negatif, FBM KLCI telah menunjukkan prestasi cemerlang pada separuh pertama 2024 (1H24), meningkat hampir 10% untuk menjadi penanda aras pasaran ekuiti kedua terbaik di ASEAN selepas Vietnam.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, beberapa faktor yang mendorong terutamanya kemajuan dalam penstrukturan ekonomi dan reformasi fiskal, pelaburan langsung yang diluluskan (FDI/DDI) mencatat rekod tertinggi; dan pertumbuhan pendapatan korporat.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan pertumbuhan pendapatan teras yang lebih tinggi sebanyak +15.5% untuk kumpulan liputan mereka dalam 2024 (sebelumnya +13.1%) manakala untuk 2025, mereka kini menganggarkan pertumbuhan sebanyak +10.7% (sebelumnya +9.9%). 

 

"Ini menjadikan penilaian pasaran kekal stabil walaupun YTD meningkat, seperti yang dicerminkan oleh sasaran KLCI akhir tahun 2024 sebanyak 1,680 mata. 

 

"Keuntungan KLCI telah dicapai walaupun aliran keluar asing sebanyak RM0.83 bilion sepanjang 1H24, mengesahkan pandangan lama bahawa pasaran tempatan dapat meningkat hanya dengan mudah tunai domestik yang mencukupi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Seterusnya Maybank IB membangkitkan persoalan apakah yang akan berlaku seterusnya setelah melihat satu permulaan yang baik bagi 2024.

 

Firma penyelidikan itu menggarisan pilihan raya Presiden AS pada November, persekitaran luaran yang terus memberikan sokongan dan dengan FDI/DDI meningkatkan anjakan rantaian bekalan global berterusan dengan pantas.

 

Katanya, Ringgit juga diramal mengakhiri 2024 dengan lebih kukuh, sekitar paras RM4.60 berbanding AS$1.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dasar positif kerajaan lonjak 10% saham negara ini dan dijangka berterusan - Principal Asset Mgmt

 

"Domestik, pencetus yang paling dinantikan adalah pelancaran rasmi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ). Menteri Ekonomi Malaysia (Rafizi Ramli) telah mengisyaratkan kemungkinan pengumuman perjanjian pada September, yang akan menjadi rangsangan besar bagi kedua-dua negara melalui pergerakan bebas orang, barang dan modal, dan lebih menggalakkan tema-tema penting lain seperti FDI, tenaga boleh baharu (RE) dan pusat data (DCs). 

 

"Pelaksanaan yang berjaya bagi reformasi struktural seperti Strategi Semikonduktor Kebangsaan (untuk meningkatkan nilai tambah berbanding proses hujung) dan penyesuaian subsidi petrol akan lebih meningkatkan sentimen pasaran," jelasnya.

 

Mengenai sektor, firma penyelidikan itu mengesyorkan Kewangan, Pembinaan, RE, Penerbangan, Permainan Kasino, Minyak & Gas, Sarung tangan dan Perisian/EMS sebagai Overweight; sementara Petrokimia dan Media sebagai Underweight. - DagangNews.com